Home Berita PAS Perlis

Teruskan usaha menyatukan ummah

190
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 9 Jan: PAS akan terus berusaha menyatukan umat Islam menerusi kerjasama politik yang dibuat dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, meskipun jalannya sukar, usaha berkenaan akan tetap dilaksanakan selaras dengan tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 iaitu Islam Menyatukan Ummah.

“Tuan Guru Presiden kita sentiasa sebut berkenaan kewajipan menyatupadukan umat Islam dan masyarakat majmuk di negara ini.

“(Bahkan) Usaha menyatukan umat yang disebut (Presiden PAS) ini sememangnya merupakan perintah kepada kita yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran,” jelasnya pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Perlis, di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini hari ini.

Untuk itu katanya, sebarang isu atau sikap yang boleh merumitkan usaha penyatuan perlu dielakkan manakala ahli PAS perlu berjiwa besar, bersungguh-sungguh menjayakannya serta bersabar.

“Kita mengutamakan pendekatan secara pendamaian, tak perlulah mana-mana pihak nak tunjukkan kekuatan masing-masing.

“Kena berjiwa besar, jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, pentingkan diri atau dendam kesumat.

“Menjadi kewajipan kepada kita untuk hadapi PRU-15 nanti dengan usaha perpaduan yang kita lakukan pada hari ini,” ujarnya.