Home Berita PAS Perlis

Pegang empat prinsip, laksana arahan jemaah

225
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 9 Jan: Pegang teguh kepada empat prinsip dan bersungguh-sungguh laksanakan arahan-arahan jemaah!

Demikian intipati ucapan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin ketika berucap pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS bertempat di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini hari ini.

Jelasnya, sejak penubuhannya, PAS tetap berpegang kepada empat prinsip penting biarpun berlaku perubahan dalam kepimpinan.

“Selagi PAS berpegang teguh kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas, kita akan tetap berpegang pada 4 prinsip ini iaitu bergerak atas dasar tauhid, meletakkan Islam sebagai ad-Deen, Aqidah yakni beriman kepada adanya Hari Akhirat dan Takwa kepada Allah.

“Maknanya dalam apa sahaja yang kita buat, perlu diingat ada pertimbangan dosa pahala, betapa perlunya ahli-ahli PAS menjadi orang yang paling rapat kepada Allah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah seluruh ahli PAS juga perlu mengukuhkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti serta melaksanakan arahan-arahan yang telah diputuskan jemaah seperti yang terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, dengan bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, ahli PAS turut diingatkan agar sentiasa menggunakan media baharu dengan cara yang betul.

“Tuan puan, PAS ini gerakan Islam, kerja buat Rasul ni diteruskan oleh PAS, bermakna PAS akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran sebagai sunnatullah dalam perjuangan.

“Kalau kita ada merasakan ada masalah, sampaikan ke saluran yang sepatutnya, bukan media baharu, salurkan kecaknaan keperihatinan dan kebimbangan itu ke saluran yang betul dalam parti,” ujarnya.