Home Berita PAS Perak

Muhasabah : Sabar hadapi musibah banjir

0
SHARE

MUHASABAH : SABAR HADAPI MUSIBAH BANJIR

#BeramalKeranaAllah

KEHIDUPAN manusia di muka bumi tidak terlepas daripada ujian Allah SWT samada dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan dan seharusnya diterima dengan redha dan syukur.

Malah setiap kejadian atau musibah khususnya ketika ini banjir melanda beberapa buah negeri, kedengaran di sana sini keluhan mangsa, cakap-cakap pihak tertentu dan pertikaian terhadap keputusan-keputusan tertentu sebenarnya menambahkan lagi kesulitan yang sedang dihadapi.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat 1-2 yang bermaksud,
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

Maka, seharusnya dan sepatutnya kita memilih untuk menjadi insan yang bersedia menghulurkan bantuan mengikut kemampuan malahan sebenarnya banyak kisah-kisah pengalaman menarik turut dikongsi sebagai membuktikan ukhuwah kejiranan tetap terjalin utuh.

Ada dikalangan mereka saling berkongsi makanan dan minunan walaupun sedikit sekadarnya tetapi dengan keberkatan Allah SWT ianya memberi manfaat kepada mereka saat genting tersebut. Kuncinya adalah bersabar dan bersyukur kepada Allah SWT.

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”
(Surah al-Baqarah, ayat 153)

Dalam pada itu, bagi kita yang tidak terlibat dalam musibah, betulkan niat, ikhlaskan usaha kita untuk membantu dengan sebaiknya serta tidak menyalahkan pihak lain atau menafikan tindakan sesiapa sahaja yang hadir membantu mengikut kemampuan mereka.

Namun, sudah pasti apabila penyusunan gerak kerja dibuat dengan kerjasama pihak berautoriti akan memberikan impak yang lebih berkesan. InsyaAllah ianya juga boleh memastikan tindakan yang saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

Marilah kita bermuhasabah bersama serta hadapinya dengan sabar tidak kira apa dan di mana posisi kita. Ayuh kita berganding bahu dan saling membantu dengan semangat #MalaysiaBangkitBersama.

ZULFADLI ZAINAL
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
#PemudaPASPerak
#LegasiPerjuangan
#MemacuPerpaduan