Home Berita PAS Pahang

Semua mesti tegas banteras mungkar di setiap sudut

493
SHARE

OLEH: AZRAI MOHD

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan penglibatan seorang remaja Muslim bernama Danish Iskandar berusia 17 tahun yang masih dikategorikan bawah umur menjadi pelakon dalam drama bersiri ‘Stay Away From Me’ berunsurkan hubungan sejenis (gay) selain pelakon lain Hardy Saiful, Reese Ayman dan Ady Hu.

Isu ini tular dan mendapat reaksi negatif terutama di kalangan warga media sosial, apabila Danish Iskandar mendakwa pada peringkat awal beliau tidak dimaklumkan secara terperinci jalan cerita drama tersebut.

Sebelum ini, sekitar bulan Ramadan 2021, muncul iklan syarikat judi GDBet333 menggunakan lima pelakon beragama Islam mempromosikan aktiviti perjudian bertemakan hari raya Aidilfitri, menodai kesucian bulan yang mulia itu.

Ia juga turut kecoh dan mengundang kemarahan netizen di media apabila para pelakon terbabit mendakwa yang mereka tidak mengetahui bahawa mereka ditawarkan untuk menjayakan sebuah video yang mempromosikan judi.

“Kami tidak mahu mengulas berkenaan tipu helah atau strategi pengeluar filem-filem tersebut, kerana perkara itu telah pun berlaku.  Lumrahnya, bila dah berlaku barulah kita cakna dan beria.

“Apa yang kita harapkan ialah perkara seperti ini tidak berulang semula. Solusinya semua pihak wajib mengambil berat dan berperanan. Tidak selesai jika hanya menuding jari mencari salah orang lain seperti cerita ‘bangau oh bangau’,” ujar Ketua Lajnah Dakwah Pemuda PAS Pahang, Ustaz Azraie Mohd Saballah.

Jelas beliau, Pemuda PAS Pahang mengharapkan agar ibubapa memahami peri pentingnya peranan mereka mendidik anak-anak menjadi manusia yang mengikut suruhan agama sejak kecil.

Membenarkan kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, jelasnya seteruk mana pun ibu bapa, jika masih ada kewarasan dalam diri pasti mereka inginkan anak-anak mereka menjadi manusia yang baik dan tidak mengikut jejak langkah mereka.

Ini seperti yang termaktub di dalam firman Allah SWT, “Dan ketahuilah harta dan anak-anakmu itu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Ujar beliau lagi, guru-guru di sekolah turut mempunyai peranan penting sebagai watak yang mencorakkan pemikiran, gaya hidup dan masa hadapan anak-anak pelajar.

Para guru menurutnya, perlu ada sifat murabbi (pendidik) dalam diri. Bukannya menjadi guru kerana semata-mata kerjaya yang menerima imbuhan bulanan daripada majikan sahaja.

Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.” (Riwayat Muslim)

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Zarimi As Shubrawi turut sependapat dengan Azraie dan menyatakan bahawa pemimpin dan pihak berkuasa di dalam negara juga wajib memain peranan besar.

Ujarnya, para umarak perlu mengambil berat dan sama-sama merasai kepentingan pembinaan rohani, sahsiah dan kualiti peribadi warga Malaysia terutamanya para remaja, belia dan pemuda yang merupakan aset penting sebagai pelapis kepimpinan negara masa hadapan.

“Saya dengan ini menyeru agar agenda kebaikan perlu dirancakkan lagi melalui kempen kesedaran, seminar, modul, program di TV termasuk iklan, lagu dan filem.

“Jangan pula seperti yang tular di Tiktok “hari ini rancak, di sini rancak, di sana rancak, berdosa!” ujar beliau mengulas isu berkaitan yang dibangkitkan oleh Lajnah Dakwah Pemuda PAS Pahang.

Ujar beliau lagi, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang tegas mesti dilaksanakan agar pihak terbabit merasa gerun untuk bertindak sesuka hati.

“Badan bukan kerajaan (NGO) dan warga netizen khususnya ‘keyboard warrior’ juga perlu sama-sama berganding bahu membantu pihak berkuasa memikirkan kaedah, memberi solusi penyelesaian terbaik dan menjayakannya sehingga berjaya. Jangan hanya pandai mengecam sahaja.

“Kata almarhum Professor Zulkifli Muhammad “Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, dan orang yang mencegah apa yang sudah digeleng,” tegas beliau.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar negara ini dijauhkan dari segala wabak bencana dan mengambil ikhtibar daripada kekhilafan yang melanda dan membuka mata semua agar semakin mendekatkan diri dengan suruhan agama.