Oleh MUHAMMAD AFIQ
PUTRAJAYA, 21 Nov: Dewan Pemuda PAS Putrajaya meneruskan insiatif mendekati orang awam dengan menyediakan stesen air minuman percuma untuk pengunjung yang beriadah di sekitar Putrajaya.
“Program ini adalah satu usaha yang sangat baik diinisiatifkan oleh DACS bagi memacu Pemuda PAS Putrajaya bergerak dalam pelbagai lapangan untuk mendekati anak muda, komuniti dan masyarakat di Putrajaya.
“Kita dapati maklum balas daripada pengunjung juga positif yang mana ia merupakan ruang untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat,” kata Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Putrajaya, Abdul Azim Abu Ziden.
Beliau juga memberi galakan kepada orang awam untuk menjadikan aktiviti beriadah sebagai rutin mingguan demi menjaga kesihatan tubuh badan.
“Riadah pagi merupakan satu aktiviti sihat, baik sama ada dilakukan secara individu, bersama keluarga atau pun sesama rakan-rakan. Riadah penting untuk fizikal yang cergas serta mental yang cerdas.
“Pepatah arab ada menyebut bahawa ‘akal yang sihat dari tubuh yang sihat’. Maka gunakan hujung minggu sebaik dengan aktiviti yang bermanfaat seperti ini,” tambahnya.
Beliau juga berpesan kepada Pemuda PAS Putrajaya agar terus menyebarkan mesej dakwah kepada masyarakat.
“Di pihak Pemuda PAS Putrajaya, kita perlu terus mengembangkan lagi peranan dakwah di dalam masyarakat melalui pelbagai lapangan yang sesuai dengan membawa mesej Islam serta memacu perpaduan ummah.
“Kita juga terus komited untuk memperbanyak lagi program riadah untuk mendekati orang awam khususnya anak muda di masa akan datang,” jelasnya.
Lebih 200 botol air minuman dan isotonik diagihkan kepada orang awam yang bersukan di sepanjang laluan Masjid Putra ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berhampiran Istana Kehakiman Presint 2.
Stesen Air Minuman Percuma ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ‘runner’ yang memakai kostum Batman yang singgah untuk mengambil air minuman dan bergambar bersama orang awam dan pengunjung.
Edaran air percuma selesai sekitar jam 9.30 pagi dan para pengunjung dilihat gembira dengan pemberian kecil ini.
Pada masa yang sama, program riadah bulanan bersama DACS Putrajaya bertemakan ‘Fit Is Sunnah’ melibatkan aktiviti jogging dalam kalangan ahli-ahli pemuda PAS Putrajaya turut diadakan sempena minggu pertama acara larian KLSCM Virtual Run 2021.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Syed Ahmad Fadhli yang juga sama-sama menyertai program anjuran Pemuda Putrajaya.