Home Minda Presiden

Bahasa jiwa bangsa

318
SHARE

Minda Presiden PAS

BAHASA JIWA BANGSA


Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ٢٢

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kalian. Sesungguhnya hal yang demikian itu benar-benar mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Kepelbagaian bahasa atau bangsa yang mempunyai bahasa tersendiri merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT ke atas alam ciptaan-Nya termasuklah makhluk manusia. Di samping aspek ilmu, kemahiran dan hasil yang berbeza, manusia itu diwajibkan hidup secara bermasyarakat bagi menyelaraskan kepelbagaian masing-masing.

Hal ini sangat penting bagi memenuhi keperluan hidup untuk memakmurkan bumi. Pada masa yang sama, memperhambakan diri kepada Allah Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.

Allah SWT juga menunjukkan tanda-tanda kebijaksanaan-Nya berdasarkan firman-Nya:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ٤

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul itu melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga memberikan hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah jua Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Betapa eratnya bahasa kepada sesuatu bangsa laksana hubungan roh dan jasad. Maka, perkara ini dinobatkan dalam satu kata-kata:

”Bahasa jiwa bangsa”

Semua bangsa yang berdaulat dan berjati diri sememangnya berbangga dengan bahasa masing-masing yang telah dikurniakan oleh Allah SWT bagi memudahkan hubungan sesama mereka. Selain itu, bagi menyebarkan ilmu dan maklumat yang mudah dicapai dengan menggunakan bahasa sendiri.

Sekiranya disebarkan melalui bahasa yang lain, maka ia terpaksa memakan masa dan tenaga yang berasingan daripada diri seseorang individu tersebut. Tanpa dinafikan bahawa mengetahui pelbagai bahasa itu akan mendatangkan ilmu dan pengalaman tambahan daripada pihak lain yang berbagai-bagai bangsa.

Bahasa Turki dan bahasa Parsi mengambil tempat bagi menyebarkan Islam di Jalan Sutera yang dikenali dengan Asia Tengah pada hari ini terus mengambil tempat sehingga kini. Selain itu, bahasa Urdu di benua India pula terus diamalkan.

Malah, bahasa Melayu juga menjadi bahasa bagi menyebarkan Islam di Nusantara, sehingga para penganutnya terbesar di rantau ini. Kitab-kitab bahasa Melayu bertulisan Jawi terus menjadi bacaan sehingga kini. Penjajah tetap gagal menghapuskan pengaruh bahasa Melayu, sekalipun mereka telah cuba melemahkannya.

Dalam pada itu, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan bahawa mengilmukan sebanyak mungkin sesuatu bangsa, ia mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa ibundanya sendiri. Hal yang tersebut boleh berlaku dengan penterjemahan ilmu daripada pelbagai  bangsa kepada bahasa sendiri yang dijalankan oleh beberapa orang terpilih yang menguasai bahasa asing.

Tamadun Islam yang maju adalah hasil daripada gerakan penterjemahan ilmu daripada pelbagai bangsa dunia pada zamannya ke dalam bahasa Arab. Sedangkan tamadun Barat pula menimba ilmu daripada tamadun Islam, dengan beberapa orang dalam kalangan mereka menguasai bahasa Arab dan menterjemahkannya ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah.

Sehingga hari ini, masih terdapat pengaruh bahasa Arab yang tidak dapat diterjemahkan kerana tiada perkataan dalam bahasa Barat yang boleh menterjemahkannya. Bahkan, masih tersimpan lagi buku-buku asal dalam bahasa Arab dalam arkib di beberapa negara Barat itu.

Misalnya, Jerman dan Jepun yang kalah dalam Perang Dunia Kedua telah bangkit semula dengan mengangkat bahasa masing-masing. Hal yang sama diikuti oleh China yang bangkit pada hari ini dengan bahasanya sendiri.

Ibn Khaldun RH pernah menegaskan bahawa bangsa lemah yang dijajah, sering kali dilihat akan terpengaruh dengan bangsa yang lebih kuat menjajahnya. Sehingga mereka yang dijajah itu berbangga dengan budaya, bahasa dan pakaian para penjajah.

Perkara tersebut dapat disaksikan kebenarannya apabila negara bekas jajahan Inggeris amat berbangga dengan bahasa Inggeris. Begitu juga,  dalam kalangan negara Afrika yang dipengaruhi bahasa Perancis, berbangga dengan bahasa penjajahnya. Contoh yang lain, penduduk di Amerika Latin pula berbangga dengan bahasa penjajah Sepanyol.

Kita menyaksikan kini di peringkat antarabangsa sudah berlaku kebanyakan para pemimpin negara khususnya negara besar atau negara yang benar-benar berdaulat para pemimpinnya, mereka berucap dan memeteraikan perjanjian dengan bahasa ibunda masing-masing. Termasuklah dalam persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun mereka boleh berbahasa lain dengan fasih. Hal ini dapat ditonton dalam Youtube yang merakamkan ucapan langsung atau rakaman, sehingga pihak PBB menyediakan penterjemahnya.

Baru-baru ini, apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu di persidangan antarabangsa PBB mendapat pujian daripada ramai khususnya oleh pejuang Bahasa Kebangsaan. Namun, masih ada segelintir yang memperkecilkannya dan menganggapnya satu kelemahan kerana beliau tidak mampu berbahasa Inggeris.

Hal ini menunjukkan betapa pengaruh penjajah itu telah berakar umbi dalam jiwa mereka, sehingga terdedah nilai kebangsaannya yang tidak berjiwa. Walaupun jasadnya berada di Malaysia, seolah-olah jasadnya sedang berada di England dan dipenuhi oleh penduduknya dalam kalangan orang berkulit putih.

Walhal, Presiden Indonesia Joko Widodo yang juga berucap dalam bahasanya tidak pula dipersoalkan. Akan tetapi, disebabkan YB Menteri Alam Sekitar dan Air daripada PAS, maka beliau diperlekehkan. Perkara ini sekali gus menandakan fobia terhadap PAS dalam rohnya terserlah, dan tanpa dapat disembunyikan lagi kebenciannya terhadap wajah Islam.

Saya menyaksikan bagaimana negara India yang besar dan antara negara yang mempunyai paling ramai penduduknya telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, sehingga peminta sedekah atau pengemisnya juga berbahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, mereka tidak mampu menjadi kuasa besar sepertimana negara China, Jepun dan Jerman.

Malah, mereka turut gagal dalam membasmi masalah buta huruf dan kemiskinan dalam kalangan rakyat mereka. Begitu juga negara Filipina yang kuat pengaruh Baratnya juga terus tercorot kedudukan negaranya.

Pada hari ini, sudah ramai ketua negara yang hanya tahu berbahasa ibundanya sahaja, namun mereka tetap dipilih oleh rakyat menjadi ketua negara. Sangat malang bagi kita, terdapat golongan yang lemah jati diri kerana lemahnya bahasa Melayu dan terikut-ikut dengan agenda Amerika Syarikat yang mencipta orde baharu dunia (New World Order) termasuklah pengaruh penggunaan bahasa Inggeris sepertimana negara tersebut.

Perkara tersebut telah melahirkan pemimpin seperti Donald Trump yang hanya tahu berbahasa Inggeris dan berbudaya koboi di Amerika Syarikat. Lalu, mereka meramaikan wakil rakyat sepertinya untuk berada di parlimen dan memimpin negara.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi’ul Akhir 1443 / 16 November 2021