Oleh: JAUDIN M AMIN
BUKIT GANTANG: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung secara hibrid menggerakkan jentera teknologi maklumat untuk menyediakan fasiliti bagi kelancaran penganjuran acara tahunan ini.
Lajnah Teknologi Maklumat dan Data (IT) PAS Perak sejak sebulan lalu telah menjalankan kursus dan melengkapkan kelengkapan IT bagi menghadapi Muktamar tahun ini yang merupakan tahun pemilihan parti.
Menurut Ahli Jawatankuasa Lajnah Teknologi Maklumat dan Data negeri, Jailani Kamaruddin, kursus telah dilaksanakan sejak sebulan lalu bagi memahirkan petugas-petugas melaksanakan pengundian dalam talian (e-voting) di peringkat Kawasan.
Selain itu, kongsinya cabaran besar yang dihadapi oleh setiap Kawasan adalah menyediakan peralatan yang lengkap seperti komputer, pencetak dan talian internet yang stabil.
“(Namun) Alhamdulillah, Lajnah IT PAS Kawasan-Kawasan telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang. Pengalaman itu menjadi ilmu yang berguna bagi melaksanakan e-voting di peringkat Pusat pula, katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Muktamar peringkat negeri Perak.
Pusat Pengundian Muktamar negeri bertempat di Dewan PASTI Al-Badar, Air Kuning yang terletak bersebelahan dengan Pusat Tarbiah PAS Perak, di mana tempat berlangsungnya Muktamar PAS Pusat bagi perwakilan negeri Perak, dekat sini hari ini.
Sebanyak 12 saluran mengundi atas talian disediakan dengan 15 petugas IT bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.
Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-67 berlangsung di Duyung Marina & Resort, Pulau Duyong, Terengganu yang dihadiri kira-kira 600 perwakilan dan 770 perwakilan pula menyertai Muktamar secara maya di 11 venue di seluruh negara.