Kenyataan Media
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
BPPWP Sokong Garis Panduan Ketat Pelesenan dan Penjualan Minuman Keras di WPKL
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah DBKL menguatkuasakan garis panduan yang ketat terhadap penjualan serta syarat pelesenan minuman keras di WPKL.
Langkah tersebut yang diumumkan sejak tahun lalu merupakan suatu tindakan proaktif DBKL dalam mengekang pelbagai implikasi negatif disebabkan oleh minuman keras tersebut.
BPPWP berpandangan tindakan mengenakan beberapa garis panduan serta syarat terhadap pelesenan dan penjualan minuman keras tidaklah membebankan pengguna bukan Islam.
Bahkan, ia adalah langkah kepada situasi menang-menang bagi semua pihak dalam mengawal selia penggunaan minuman keras khusus di WPKL.
Beberapa negara luar mengambil tindakan lebih keras terhadap penggunaan mimuman beralkohol. Jepun melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap minuman keras termasuk pemandu mabuk, manakala Singapura mengisytiharkan Geylang dan Little India sebagai zon kawalan arak.
Maka, sepatutnya tidak timbul keresahan yang dibangkitkan sesetengah pihak kononnya perkara tersebut membebankan pengguna bukan Islam.
Sewajarnya semua mengambil perhatian terhadap peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu mabuk yang semakin ketara. Justeru, pindaan meningkatkan hukuman terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun lalu masih belum cukup untuk mengawal aktiviti penggunaan minuman keras dalam negara.
Oleh itu, tindakan proaktif DBKL dalam isu ini perlu mendapat sokongan semua pihak. BPPWP melihat ia suatu perkembangan positif ke arah menjadikan WPKL sebuah bandar yang makmur dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.
‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Wilayah Sejahtera’
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
3 November 2021 | 27 Rabiulawal 1443