Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor
Berapa ramai para ustaz, ustazah dan guru-guru berceramah di surau masjid, madrasah dan mimbar-mimbar, bercakap tentang politik dan pentadbiran Nabi Muhammad SAW (Sallallahu Alaihi Wasallam) di dalam ‘bulan maulid’ ini?
Berapa ramai pula yang mengaitkan urusan aqidah Islam dengan politik Rasulullah SAW, walhal kedua-duanya adalah intisari penting dakwah Rasulullah SAW.
Tidakkah ruginya ummat Islam apabila para ustaz dan ustazah tidak berminat untuk menghubungkan urusan politik dengan aqidah? Sama seperti menghubungkan urusan solat, zakat, puasa dan haji dengan aqidah, urusan pinjam meminjam dengan aqidah dan urusan berniaga dengan aqidah. Tidakkah kita yakin dan percaya bahawa semua perkara dalam kehidupan harian ummat Islam itu ada kena mengena dengan aqidah?
Selagi ummat Islam gagal memahami betapa urusan politik dan semua perkara dalam kehidupan harian ummat Islam itu berkait langsung dengan aqidah selagi itu itulah ummat Islam terus menjadi firnah kepada agama Islam itu sendiri.
Kenapa? Kerana ada ahli politik muslim yang selamba saja ambil rasuah, minta rasuah dan memaksa orang memberi rasuah. Macam la rasuah itu hanya salah di sudut undang-undang bila diketahui orang dan tak ada kena mengena dengan aqidah.
Dan kenapa? Kerana ada pegawai dan kakitangan kerajaan muslim yang selamba saja ambil rasuah, minta rasuah dan memaksa orang memberi rasuah. Macam la rasuah itu salah di sudut undang-udang bila diketahui orang dan tak ada kena mengena dengan aqidah.
Dan kenapa? Kerana ada peniaga-peniaga muslim yang selamba saja ambil rasuah, minta rasuah dan memujuk orang menerima rasuah. Macam la rasuah itu salah di sudut undang-udang bila diketahui orang dan tak ada kena mengena dengan aqidah.
Saya mengambil contoh tindak-tanduk pegawai dan kakitangan kerajaan, dan peniaga-peniaga kerana kedua-duanya kerap berkait langsung dengan orang politik.
Perangai kita ummat ini adalah cerminan kepada agama Islam itu sendiri. Kitalah yang menyebabkan bahagaimana Islam itu dipandang, tinggi atau rendah, mulia atau tidak, hebat atau lembab.
Maulidurrasul maulidurrasul juga, ajaran ar-Rasul jangan dikesamping. Ketahuilah, politik adalah ajaran dan kehidupann ar-Rasul SAW (Sallallahu Alaihi Wasallam).
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor