Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Sepang
Oleh : Ir. Mohd Haslin Hassan
YDP PAS Kawasan Sepang
“Pasca mesyuarat tahunan PAS 2021 peringkat Cawangan, Dewan Pemuda, Muslimat & Kawasan Sepang – Harapan PAS Sepang”
Alhamdulillah, cawangan-cawangan PAS di dalam Parlimen Sepang telah selesaikan melaksanakan mesyuarat agong tahunannya masing-masing. Walaupun sebahagian cawangan-cawangan menjalankan mesyuaratnya menggunakan kaedah ‘hybrid’, namun terdapat juga cawangan-cawangan melaksanakannya secara bersemuka tetapi dengan norma baharu pematuhan SOP COVID19.
Di peringkat PAS Kawasan Sepang, Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-38 baru sahaja selesai. Mesyuarat diadakan secara “hybrid” di mana semua ajk PAS Kawasan dan 5 orang perwakilan Dewan-Dewan bersemuka di pejabat PAS Kawasan dengan pematuhan SOP, manakala para perwakilan dari cawangan-cawangan seluruh Sepang mengikutinya secara atas talian.
Seramai 213 perwakilan berdaftar telah mengikuti perjalanan mesyuarat agong yang julung-julung kalinya diadakan secara “hybrid”. Secara umumnya, perjalanan mesyuarat berjalan dengan suasana penuh ceria dan harmoni, walaupun pada tahun ini ada agenda bagi memilih saf kepimpinan yang baharu.
Apa yang dapat disimpulkan tentang perjalanan dan keputusan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Sepang kali ini, para perwakilan lebih fokus dan komited bagi mengukuhkan organisasi parti ke arah persiapan menghadapi pilihanraya umum yang dijangka dalam tempoh 10 bulan mendatang. Keputusan akhir agenda pemilihan memperlihatkan semua calon yang layak bertanding telah dipilih tanpa pertandingan.
Harapan saya agar saf kepimpinan PAS Kawasan, kepimpinan Dewan Pemuda dan Muslimat kembali merapat saf, menyatukan fikrah dan bertindak seiringan bagi mengukuhkan organisasi dan persiapan berhadapan cabaran mendatang.
“Terus kukuhkan saf, satukan fikrah dan bertindak secara jamaie”
17 Oktober 2021 | 10 Rabiul Awal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor