Home Berita PAS Terengganu

Rencana | Sedekad Ameerah, pemberdayaan generasi muslimah muda

218
SHARE

Perjuangan Islam semenjak di zaman ar Rasul SAW menyaksikan peranan muslimah muda yang berdada dengan musuh Islam serta turut mengobar panji perjuangan. Asma Binti Abu Bakar, Aisyah isteri Rasulullah, Khaulah, di antara nama yang mencuat dalam perjuangan menegakkan Islam. Generasi muda adalah kelompok yang sangat penting dalam dakwah dan perjuangan Kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan iltizam dan mereka merupakan kelompok yang senang untuk berubah serta menjadi pemangkin nukleus kesedaran.

Menurut Sheikh Munir Ghad’ ban, Rasulullah SAW semenjak dizaman awal dakwah di Mekah telah memperlihatkan tendensi dan kesungguhan membina generasi muda. Kelompok pemuda dipilih oleh baginda untuk menjadi panglima perang, utusan dakwah, tenaga nuqoba’ serta pelbagai fungsi. Generasi muda sangat penting sebagai pelapis perjuangan dan menjadi kayu ukur atau indikator untuk melihat masa depan Islam.

Menginsafi Peri pentingnya keperluan untuk memperkasa elemen muslimah muda dalam Dewan Muslimat PAS Pusat maka lahirlah entiti baru yang akan menjadi tarikan pesona anak muda kepada Dewan Muslimat. Dilancarkan sempena Simposium Pakatan Rakyat bertempat di Dewan Millinea Kepala Batas Pulau Pinang pada 1 Oktober 2011. Program skala mega itu juga sebagai acara pemanas badan sebelum menghadapi PRU yang ke 13.

Fenomena sokongan kepada parti bukan BN melonjak semenjak 2008 apabila BN tumbang di lima buah negeri dan kehilangan dokongan warga Wilayah Persekutuan (BN Hanya menang di dua kerusi Parlimen). Anak- anak muda melihat kegagalan pentadbiran BN, salah urus yang menjolok mata serta penyakit KKN. Keghairahan kelompok anak muda menolak BN sangat jelas saat itu, ditandai dengan kehadiran mereka dalam program ceramah, menyertai demonstrasi, sembang politik dan sebagainya.

Kewujudan Ameerah juga untuk merapatkan jurang generasi dalam muslimah, semakin ramai kelompok muda kelas menengah Melayu dizaman millenia. Kerancakan program kaderisasi dakwah di kampus sekaligus melonjakkan tenaga pakar muslimah muda yang wajib dimanfaatkan oleh PAS. Penulis yang berada di dalam Dewan Millinea Kepala Batas pada hari pelancaran Ameerah merasa teruja melihat simbolik epal hijau. Satu simbolik akan energi dan usaha pemberdayaan kelompok anak muda yang tak terikat dengan budaya kerja Muslimat yang rata- ratanya berumur.

Ameerah membuka keahliannya untuk generasi yang berumur 21 tahun ke 40 tahun, aktivitinya pelbagai dengan usaha utamanya untuk merengkuh sokongan anak muda. Antara program yang sering ditempelkan dalam gerakerja Ameerah sepanjang sedekad keberadaannya dalam harakatul ummah ini ialah seperti bedah buku, tutorial memakai tudung, seminar smart learning, bulatan gembira (usrah), jaulah tarbawi, acara sukan Ameerah, ziarah, mewujudkan ikon Ameerah negeri dan kawasan yang terdiri daripada kalangan anak muda Muslimat yang piawai.

PAS merasa bangga dengan kewujudan entiti muslimah muda ini yang sentiasa melengkapi gerakerja Dewan Muslimat. Cabaran Ameerah semakin membesar kerana anak muda semakin mual dengan politik,intriq dan polemik. Dunia anak muda seperti kembar Siam dengan dunia hiburan, adakah Ameerah mampu merancakkan hiburan patuh syariah?. PRU 15 ini akan menyaksikan pertambahan pengundi baru berlipat kali ganda daripada PRU sebelum ini kerana umur mengundi 18 tahun. Pengundi kali pertama ini perlu didekati dan disantuni sebaik mungkin oleh Ameerah dan juga entiti anak muda lain dalam PAS.

Dr Riduan Mohamad Nor
Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI