Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Ustaz Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
BATALKAN PELAKSANAAN CABUTAN KHAS JUDI, BUKAN TINGKATKAN
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan yang mahu melaksanakan pelaksanaan cabutan khas judi, yang ditingkatkan dari 8 kali setahun pada tahun 2020 kepada 22 kali setahun pada 2021.
2. Sedia maklum, judi atas apa nama jua sekalipun adalah tetap haram di sisi agama, malah hakikatnya ia tidak mendatangkan sebarang faedah. Lebih teruk lagi jika kita beranggapan ia sebagai solusi dalam memulihkan kembali sektor ekonomi dan kewangan negara pasca pandemik ini.
3. DPPNS juga mengingatkan kepada kerajaan pada hari ini bahawa pemulihan negara dari pandemik ini yang semakin menampakkan sinar di hujung jalan, tidak wajar menjadikan kita lupa terhadap ujian sepanjang pandemik ini sehingga kita membenarkan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama dilaksanakan sewenang-wenangnya.
4. Tidak kira siapa pun yang memerintah negara ini, judi adalah dilarang oleh agama dan perosak kepada ekonomi negara, wajib dibantah oleh semua pihak tanpa sebarang kompromi. Sepatutnya Kementerian Kewangan membatalkan terus pelaksanaan cabutan khas judi yang sedia ada, bukannya meningkatkan lagi sehingga berganda-ganda.
5. DPPNS tidak akan berdiam diri dalam isu kemungkaran yang jelas berlaku ini. Kita juga mengharapkan jasa baik daripada Perdana Menteri agar dapat campur tangan dalam keputusan yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan tersebut.
6. Kita tidak mahu suasana baik rakyat terhadap kerajaan pada hari ini dengan pembawakan Keluarga Malaysia dirosakkan disebabkan isu-isu sebegini yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara Malaysia ini. Usah ulangi kesilapan sikap PH dahulu yang sering mengundang kecaman umat Islam ekoran satu persatu isu yang wujud tidak menjaga sensitiviti umat Islam.
Memimpin Negara,
Pemuda Bangkit Demi Islam.
25 September 2021 l 18 Safar 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor