“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor
Oleh : Muhammad Najhan Shahir Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Ia kerana idea sosialis bertentangan dengan Islam. Disebabkan sosialis itu kononnya ingin kesamarataan daripada semua segi hakikatnya kesamarataan itu bukan semestinya adil.
Islam mengajar konsep adil,
Sosialis meletakkan kesamarataan dimana mereka bersaing dengan kapitalis yang mengutamakan golongan kapitalis (kaya) sahaja dan mengabaikan golongan miskin.
Islam pula si kaya ada hak dan tanggungjawab manakala si miskin pun ada hak dan tanggungjawab.
Apa yang hak diberi hak dan apa yang tanggungjawab perlu ditunaikan.
Kekhuatiran idea sosialis menghinggap isu VIP apabila cubaan untuk menyamaratakan semua perkara tanpa langsung diberi hak sewajar dan seadilnya.
Seperti penghormatan diberi kepada orang yang mulia dan juga pemimpin.
Bukan bermakna diberi kedudukan khusus samada di majlis keramaian seumpamanya kepada pihak tertentu seperti pemimpin dan orang tertentu maka dikatakan tidak adil.
Dalam Islam sudah ada pengajaran tersendiri bagaimana golongan yang dihormati oleh masyarakat diberi penghormatan dalam majlis.
Ayat Al-Quran,
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قِیلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُوا۟ فِی ٱلۡمَجَـٰلِسِ فَٱفۡسَحُوا۟ یَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡۖ وَإِذَا قِیلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتࣲۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.
[Surah Al-Mujadila 11]
Ayat ini diturunkan ketika satu majlis Nabi saw yang dipenuhi oleh sahabat ra, lalu sahabat ahli Badar tidak ada tempat untuk duduk. Maka, Rasulullah saw meminta sejumlah sahabat yang ada untuk memberi ruang duduk kepada sahabat ahli Badar tempat bagi mereka sebagai penghormatan buat ahli Badar.
Hadis Ibnu Umar ra,
إذا جاءَكم كريمُ قومٍ فأكرموهُ
Maksud, “..Jika datang kepada kamu seorang yang mulia (ada kedudukan) maka berilah penghormatan kepadanya..”.
Hadis ini sabit dengan kisah Nabi saw memberikan selendangnya kepada seorang sahabat yang merupakan pembesar satu kaum. Sahabat berkenaan datang dalam majlis Nabi saw dan tiada tempat untuk beliau duduk, lalu Nabi saw memuliakannya dengan memberikan selendang kepadanya lalu menyebut hadis ini.
Ini menandakan bahawa dalam tidak salah dalam konsep VIP pada asasnya. Walaupun mungkin disana terdapat kes-kes tertentu melibatkan perangai dan sikap pihak tertentu yang berlebihan dan terkeluar daripada batasan akhlak dalam hal layanan VIP ini.
Mungkin disebabkan ketidakpuasan hati, kata-kata kesat yang menyinggung perasaan seseorang, sikap sombong dan bangga diri atau seumpamanya yang melibatkan sentimen perasan hati kecil manusia.
Justeru, penulis bimbang satu bentuk dorongan masyarakat ke arah konsep kesamarataan yang tidak berpaksi kepada keadilan sedang diuar-uarkan.
Sebenarnya idea kesamarataan ini sekiranya tidak dipandu dengan keadilan Islam dan rohnya, ia akan memandu ke arah sosialisme.
Idea Sosialisme itu memang nampak seperti cantik dan adil tetapi ia jauh daripada roh Islam sebenar.
7 Safar 1443H | 14 September 2021
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor