Home Rencana PAS Selangor

Makna sebuah kemerdekaan & kebebasan – Pemangku Timbalan Ketua DUPN Selangor

150
SHARE

May be an image of 3 people and text

“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Ustaz Nik Bakri Nik Mat
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulamak Selangor

1. Antara perkara yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam adalah perkara berkait dengan kemerdekaan dan kebebasan. Kemerdekaan akan membawa kepada kebebasan namun kemerdekaan itu tidak membenarkan segala bentuk kebebasan. Jika dilihat definisi kebebasan maka ianya adalah ‘kuasa atau hak untuk bertindak, bercakap, atau berfikir sebagai satu kehendak. ‘Daripada definisi ini, kita akan memahami bahawa kebebasan adalah lebih umum daripada kemerdekaan. Adapun kemerdekaan dimaksudkan untuk negara secara keseluruhan dan juga rakyat untuk hidup bernegara. Dalam erti kata lain, ia dimaksudkan untuk semua orang yang membentuk sebuah negara. Maka kemerdekaan adalah kebebasan daripada pengaruh kekuasaan dan penjajahan dari negara asing sama ada penjajahan fizikal, pemikiran, budaya dan lain-lain.

2. Sesetengah alim ulamak mentakrifkan kemerdekaan dalam Islam sebagai kebebasan menjalankan tanggungjawab agama tanpa halangan sama ada untuk melakukan perkara wajib atau sunat. Perkataan kemerdekaan itu sendiri mempunyai makna yang suci dalam Islam iaitu kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.

3. Sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini telah tersalah tafsir dalam memahami kemerdekaan iaitu bagi mereka kemerdekaan adalah sebuah kebebasan secara mutlak seperti bebas berfikir, bebas bertindak dan bebas melakukan apa sahaja tanpa mengikut tuntutan dan batasan agama. Masyarakat hari ini menuntut kebebasan dalam segalanya atas nama ‘Hak Asasi Manusia’. Oleh itu masyarakat Islam khususnya diseru agar menyambut anugerah kemerdekaan dan mengisi makna kemerdekaan dengan menikmati kebebasan dalam sempadan, batas-batas peraturan dan ajaran agama serta perundangan negara. Semestinya wujud penguatkuasaan undang-undang negara termasuk undang-undang syariah yang mengawal kehendak masyarakat supaya ia tidak berada di luar norma kemanusiaan,”

4. Islam merupakan agama yang terlalu unik dan sempurna dalam membawa makna kemerdekaan dan memberi erti sebuah kebebasan. Allah Ta’ala mencipta manusia dengan menetapkan bahawa semua manusia berstatus seorang hamba. Namun antara perkara yang amat menarik bila mana Allah Ta’ala meletakkan syarat wajib dalam menunaikan rukun Islam kelima iaitu Ibadah Haji adalah mesti dilaksanakan oleh seorang hamba yang merdeka. Sungguh indah dan penuh dengan makna tentang sebuah ungkapan ‘Hamba Yang Merdeka’ . Ianya membawa sebuah arti bahawa seorang manusia yang memiliki kemerdekaan dan hidup sebagai insan yang merdeka tetapi harus memahami bahawa dia tidak boleh hidup dengan sebuah kebebasan yang mutlak kerana insan tersebut tetap seorang hamba kepada Allah Ta’ala.

5. Kesimpulannya, hakikat kemerdekaan yang sebenar adalah, bila mana seorang manusia itu dapat membebaskan dirinya dari terbelenggu dengan semua bentuk penjajahan terutamanya pada pemikirannya jangan sampai dikuasai oleh pemikiran sekular, liberal, komunis dan sebagainya. Membebaskan jiwa dan hatinya daripada terbelenggu dibawah penjajahan sifat syirik, kufur, takabbur dan lain-lain. Di sana terdapat kalam hikmah menyebut bahawa ‘hakikat kebebasan dan kemerdekaan apabila seseorang itu tidak memiliki dan tidak dimiliki’. Di saat itu insan tersebut benar-benar merdeka dan bebas menjadi hamba hanya kepada Allah Ta’ala. Itulah hakikat hamba yang merdeka.

1 September 2021 | 23 Muharram 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor