Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
KEJAYAAN T4L1BAN: JANGAN TERPESONA DARI MEDIA MUSUH
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) meminta semua pihak agar tidak bermudah-mudah membuat kesimpulan yang mengelirukan terhadap situasi terkini mengenai kejayaan pihak Taliban mengambil kembali negara mereka, Afghanistan dengan mengalahkan tentera Amerika Syarikat yang akhirnya terpaksa berundur dari negara tersebut setelah bertahun-tahun bertapak.
2. Tidak wajar membuat kesimpulan bahawa pihak T4l1ban adalah kumpulan pengganas yang membawa keadaan huru hara di negara Afghanistan semata-mata gambaran kesesakan sebahagian rakyat negera itu di lapangan terbang yang mahu “menyelamatkan diri” mereka. Sedangkan olahan bagi gambaran tersebut datang dari sumber media Barat yang sememangnya skrip mereka menampakkan watak pengganas ke atas kumpulan Islam di negara tersebut.
3. Hakikat di sebalik gambaran itu adalah berlainan jika dibaca dari sumber bukan media Barat. Jelas, permainan naratif memburukkan kumpulan pejuang Islam adalah teknik musuh sejak zaman mereka menjajah lagi. Malahan kerosakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat dengan campur tangan mereka ke dalam negara-negara Asia Barat tidak pernah pula dilabel pengganas walhal jelas terpampang kerosakan secara nyata.
4. Akhirnya umat Islam diseret masuk ke kancah perang proksi yang mengakibatkan perang saudara bagi tujuan memburukkan imej kumpulan pejuang Islam. Yang amat malang, apabila umat Islam sendiri percaya dan terpesona dengan media dari Barat tanpa fahami hakikat sebenar dan asal usul pergolakan dalaman negara tersebut dari awal.
5. Perkara seperti ini tidak pelik malah turut berlaku dalam negara kita apabila beberapa tokoh pejuang kemerdekaan di negara kita kalangan para ulamak juga di”mangsa”kan dengan watak pemberontak oleh media penjajah sendiri. Maka begitulah skrip yang dimainkan oleh pihak Barat yang memusuhi Islam. Amat malang yang mempercayai sumber Barat ini kalangan umat Islam itu sendiri.
25 Ogos 2021 | 16 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor