Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Kuala Selangor
Oleh : PAS Kawasan Kuala Selangor
Kemunculan PAS dalam arena politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama’ yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu Persidangan Ulama’ Malaya di Seberang Prai, Pulau Pinang.
Pada peringkat awal, PAS dikatakan banyak menerima pengaruh beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulama’ yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Kesedaran yang awal ialah para ulama’ atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British.
Sejak 70 tahun yang lalu sehingga kini, PAS istiqamah dengan dasar Islam dan ingin mewujudkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan samada di peringkat negeri mahupun persekutuan. Biarpun halangan sebesar gunung, PAS tidak pernah gentar mendepaninya demi melunaskan cita-cita perjuangan Islam dengan penuh hikmah.
Semoga PAS akan terus memimpin ummah untuk melakukan perubahan dan bangkit menjadi Khairu Ummah.Ya Allah, selamatlah Parti Islam melangkah menuju keredhaan. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun yang ke 70 penubuhan PAS kepada semua Ahli dan Penyokong PAS.
24 Ogos 2021 | 15 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor