Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor
Firman Allah SWT,
( ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَـٰبَ وَلَمۡ یَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ)
[سورة الكهف 1]
Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).
1. Surah Al Kahfi mengajar kita kaedah untuk menyelamatkan diri dari fitnah akhir zaman dan fitnah dajjal iaitu dengan sentiasa konsisten bersama Al Quran.
2. Konsisten berpegang dengan Al Quran itu adalah syarat utama untuk selamat yang telah disebutkan surah Al Kahfi ayat 1. Al Quran bukanlah seperti kata-kata manusia yang berbelit dan bersimpang siur selalu berubah ubah.
3. Syeikh Mutawalli Sya’rawi menjelaskan dalam tafsirnya ” Istiqamah adalah konsisten melangkah ke arah yang sama.Tidak condong ke kanan, tidak condong ke kiri. Manhaj Allah adalah satu satunya jalan istiqamah yang menjamin kita untuk terus selamat dalam kehidupan.
4. Fitnah yang menimpa ke atas umat , apabila menganggap Al Quran tidak cukup berdaya saing dalam berdepan cabaran zaman moden. Fenomena umat lebih terliur dengan teori-teori ciptaan manusia sehingga meninggalkan Al Quran.
5. Al Quran adalah satu-satunya petunjuk yang sempurna daripada Allah. Perkara yang terpesong daripada Islam sama ada ideologi, teori dan lain-lain ditolak kerana terkeluar daripada petunjuk yang sebenar.
6. Al Quran tetap menjadi petunjuk, walaupun manusia mampu mencapai kemajuan sains dan teknologi sehingga mampu mencipta alat perhubungan dan komunikasi ke seluruh polosok dunia.
7. Al Quran juga memberikan kita ilmu yang membolehkan manusia melaksanakan tugas di muka bumi dengan kadar yang cukup mengikut keperluan zaman, tempat dan keadaan.
8. Pada hari ini apabila berdepan dengan sebarang permasalahan, ramai yang gemar untuk terus memilih pandangan yang selari dengan selera tanpa merujuk Al Quran. Jalan istiqamah adalah apabila berlaku sebarang permasalahan, kita akan merujuk jawapannya di dalam Al Quran. Kemudian meneliti mesej-mesejnya melalui sunnah Nabi SAW.
9. Inilah cara kita untuk menyelamatkan diri dari fitnah akhir zaman iaitu dengan merujuk Al quran dan As sunnah sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita. Tiada jalan pintas untuk konsisten melainkan bersungguh berpedoman Al Quran. Semoga Allah SWT sentiasa kurniakan hidayah untuk kita.
10. Allah SWT menegaskan bahawa Al Quran itu tidak diragukan lagi menjadi petunjuk manusia ke jalan yang betul. Kitab yang dibawa oleh Nabi SAW yang diterima oleh Allah SWT secara wahyu.
Rujukan : Al-Quran dan terjemahan, Celupan Jarum Kecil di lautan (karangan TGHH)
11 Muharram 1443H | 20 Ogos 2021
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor