Home Rencana PAS Pahang

PENA EDITOR Pahang | Sekilas pandang CPP

139
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

Umum mengetahui bahawa organ rasmi pemberitaan PAS di peringkat Pusat sejak tahun 80-an adalah akhbar Harakah versi cetak. Kemudian, selari dengan perkembangan teknologi era milenium (tahun 2000) diterbitkan pula Harakah versi atas talian (online) dikenali Harakahdaily (HD) yang merupakan kembar kepada Harakah versi cetak.

Seperti ramai ahli PAS sedia maklum, sejak 2014 diwujudkan pula portal Berita PAS Berpusat (CPP – Centralised PAS Portal) yang merupakan satu lagi platform rasmi PAS Pusat untuk penulisan berita dan rencana selepas Harakahdaily.

Pelancarannya disempurnakan ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kuala Kangsar pada 30 November 2014.

Ia kurang dikenali kerana dahulu ia cuma merupakan portal untuk menghimpunkan berita-berita dari laman-laman sesawang Negeri, Kawasan, DUN dan Cawangan seluruh negara inisiatif dari Jabatan IT PAS (JITP) Pusat dan negeri-negeri.

Apabila penambahan bilangan penulis-penulis Harakah versi cetak dan Harakahdaily dipertingkat, jumlah berita dan rencana di Harakahdaily semakin bertambah yang menjadikan versi atas talian itu semakin digemari ramai.

Dalam masa yang sama portal berita CPP juga berkembang dengan pesat malah turut menjadi rujukan banyak pihak yang mahu mengikuti perkembangan dan aktiviti parti PAS di negeri-negeri seluruh negara melalui laman sesawang.

Untuk meramaikan bilangan penulis di peringkat akar umbi dan memotivasi mereka, JITP melancarkan pula konsep kewartawanan di kalangan orang awam mengikut acuan Citizen Journalists (CJ) berasal dari Amerika Syarikat. Maka dicadangkan nama Wartawan Rakyat (WR) di mana orang ramai digalakkan menyumbang bahan-bahan yang mengandungi berita berbentuk penulisan, foto, video dan grafik yang boleh disalurkan melalui internet.

Bagi membimbing para penulis laman sesawang PAS agar menulis dengan lebih baik ala wartawan, telah dianjurkan beberapa siri bengkel penulisan berita untuk Wartawan Rakyat. Editor-editor berpengalaman Harakah (cetak) dan Harakahdaily telah membantu menjayakannya.

Apabila Facebook mula diperkenal pada tahun 2004, ia mula mendapat perhatian warga internet seluruh dunia sebagai perkhidmatan rangkaian sosial paling berpengaruh, sekaligus mengalih minat pembangun-pembangun laman sesawang untuk melaporkan berita-berita kegiatan organisasi dan institusi masing-masing menggunakannya.

Sejak itu PAS di berbagai peringkat pengurusan dan sayap turut sama membuka akaun Facebook masing-masing. Dengan sebab itu telah berlaku limpahan berita, info, rencana dan pelbagai lagi dari peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat tertinggi organisasi.

CPP dengan konsep dan format portal berita telah mengekalkan keberadaannya di ruang maya bagi menampung limpahan tersebut. Ini telah memaksa pasukan pengolah dan pengurusannya memperkasakan persembahan dan penampilannya untuk tatapan umum.

Selepas Muktamar PAS Kali Ke-65 di Kuantan pada 2019, berlaku perubahan dan penyelarasan lajnah di peringkat Pusat yang melibatkan organ dan platform penerangan parti di mana semua tenaga penggerak CPP diserap dan bergabung di bawah satu payung lajnah yang kini dikenali Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB).

Sejak itu CPP diistihar oleh PAS Pusat sebagai platform pemberitaan rasmi parti, kedua selepas Harakahdaily (ketiga jika termasuk Harakah versi cetak) atau lebih tepat sebagai ‘saudara kembar’ dalam menyalurkan maklumat pelbagai berita dan rencana.

Kini bolehlah disamakan penggandingan dua organ atas talian itu seperti akhbar Berita Harian dan Harian Metro yg bernaung di bawah syarikat induk New Straits Times Press. Boleh juga diumpamakan seperti akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sedikit masa dahulu yang bernaung di bawah kelolaan syarikat Kumpulan Utusan.

Sementara pemberitaan Harakah (cetak) dan Harakahdaily menumpu kepada bahan-bahan bersifat nasional, kepimpinan utama, kolumnis ilmuwan dan naratif parti, CPP pula menumpu kepada pemberitaan gerak kerja, maklumat orang ramai, bahan-bahan unsur kemanusiaan (human interest), karya sastera dan lain-lain tanpa meninggalkan tanggungjawabnya sebagai organ rasmi parti.

CPP boleh dilayari di: https://berita.pas.org.my/ sementara CPP kategori Negeri Pahang di: https://berita.pas.org.my/category/pahang/