Oleh: HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 15 Ogos :: Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman Jitra Kedah mendapat bantuan komputer riba (laptop) bagi meneruskan pembelajarannya daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah baru-baru ini di rumahnya di Kampung Seberang Balok, Kuantan.
YB Andansura Rabu telah menerima permohonan melalui emel daripada Syazwani Izzati Saiful Bahari memohon bantuan kerana laptopnya yang sedia ada telah mengalami kerosakan.
“Pusat Khidmat DUN Beserah memang tidak mempunyai peruntukan untuk sumbangan seumpama itu.
“Bagaimanapun, latar belakang keluarganya yang serba kekurangan mendorong saya untuk mencari ikhtiar bagi membantunya.
“Alhamdulillah, dua pertubuhan sedia membantu masing-masing mengeluarkan sedikit perbelanjaan iaitu Pertubuhan Helwa Care dan Nisa’ Malaysia Parlimen Indera Mahkota.
“Diharapkan semoga sumbangan ini dapat membantu pembelajarannya berjalan dengan baik tanpa halangan,” kata Andansura.
Manakala Pengerusi Pertubuhan Helwa Care, Salwani Salleh dan Pengerusi Nisa’ Malaysia Parlimen Indera Mahkota, Nuraini Mohd Tahir melahirkan rasa bersyukur dengan sikap prihatin YB Andansura Rabu. Mereka dapat membantu meringankan beban pelajar IPT yang susah dan sangat memerlukan laptop untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Di rumah (PdPR).
Menurut mereka lagi ia bersesuaian dengan peranan NGO yang mereka wakili yang menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan kepada masyarakat khususnya golongan wanita.
“Bantuan ini termasuklah memberi pertolongan melalui bantuan kewangan, kebajikan, kesihatan, pendidikan dan keagamaan,” kata Salwani.
Mereka mengharapkan agar bantuan ini dapat memberi semangat kepada Syazwani untuk terus berjaya dalam pembelajarannya dan akhirnya dapat membantu dan mengubah kehidupan keluarganya dengan lebih baik.
Syazwani ketika menerima sumbangan itu berkata, “Keadaan saya yang begitu terdesak memerlukan fungsi-fungsi yang ada pada laptop seperti rakaman Google Meet dan seumpamanya.
“Ketika ini Ibu saya dah tak bekerja, jadi saya tiada dana untuk mendapatkan laptop baru atau membaikinya. Jadi, saya mencuba nasib untuk menghubungi pihak-pihak yang mungkin dapat membantu saya seperti YB Andansura dan NGO yang saya pernah nampak di twitter.
Syazwani anak ke tiga dari enam orang adik beradik, bergantung hidup semata-mata kepada abang sulongnya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, selepas empat tahun ditinggalkan bapa mereka.
Beliau bersyukur dan sangat menghargai bantuan dan keprihatinan YB Andansura, Helwa Care Kuantan dan Nisa’ Malaysia Parlimen Indera Mahkota di atas bantuan yang telah diberikan.