Home Rencana PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam | 5 Asas Pelaburan Yang Perlu Anda Tahu

574
SHARE

5 Asas Pelaburan Yang Perlu Anda Tahu (Dan Perangkap Yang Perlu Dielakkan)

Oleh HAWA YAAKUB

MELABUR boleh jadi semudah membuat telur dadar. Sesuatu yang berlendir dan mempunyai bentuk yang tidak menentu dapat berubah menjadi sesuatu yang stabil, lazat dan berkhasiat.

Tetapi untuk mengubah telur mentah menjadi sarapan pagi yang lazat, seorang tukang masak memerlukan beberapa asas pengetahuan. Tanpa ilmu yang betul, telur mentah mungkin boleh jadi hangus dan langsung tidak boleh dimakan.

Di dalam dunia pelaburan, wang anda boleh digandakan berpandukan asas-asas yang betul. Pelabur bijak juga perlu mengelak daripada terjatuh ke dalam perangkap.

Sebilangan besar pakar pelaburan akan menasihati anda untuk sentiasa berhati-hati. Bersikap berhati-hati bukanlah semata-mata bermaksud skeptis tetapi juga untuk memiliki pengetahuan dan pengalaman yang baik sebelum terjun ke dalam pelaburan anda yang seterusnya.

Jika anda tidak mempunyai pengalaman, bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman di dalam bidang pelaburan.

Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira beberapa risiko berkaitan, pelaburan yang menguntungkan tidaklah sesukar yang difikirkan. Di bawah merupakan lima asas yang diperlukan untuk menjadi pelabur yang bijak.

1. Cerna maklumat yang sahih.

Ilmu adalah raja. Sebelum melabur wang anda, anda perlu mengetahui seberapa banyak maklumat yang mungkin mengenai sesuatu stok atau syarikat yang berpotensi. Ini termasuk sejarahnya dan prestasi semasanya di pasaran.

Selain itu, anda perlu sentiasa sedar bagaimana keadaan industri tertentu pada sesuatu masa. Ini kerana tidak semua industri akan jatuh semasa kejatuhan ekonomi dan tidak semua industri mengaut keuntungan ketika ekonomi dilihat sedang meningkat.

Pada akhirnya, maklumat yang anda rujuk harus jauh lebih boleh dipercayai daripada ‘ahli nujum yang melihat ke dalam bola kristal’. Terdapat banyak ‘pelayar masa depan’ yang mengaku sebagai pakar pelaburan yang perlu anda jauhi. Hati-hati dan berusaha untuk mendahului mereka dalam mendapatkan maklumat yang sahih.

2. Elakkan membuat keputusan mengejut dengan telefon pintar anda.

Telefon pintar anda mungkin bukan hanya bagus untuk swafoto, tetapi juga untuk anda mengikuti perkembangan pasaran semasa dan membantu anda membuat keputusan segera. Walau bagaimanapun, ianya boleh mengakibatkan kerugian dan penyesalan jika keputusan segera tersebut tidak dibuat dengan pertimbangan yang teliti.

Warren Buffet pernah berkata, “Hanya beli sesuatu yang anda akan senang hati untuk terus memilikinya walaupun jika pasaran ditutup selama sepuluh tahun.”

Sekiranya anda mempunyai asas yang betul ketika memilih pelaburan yang tepat, anda tidak akan terpengaruh dengan pergerakan mendadak pasaran, dan dengan itu, anda tidak akan panik setiap kali anda mendapat berita di telefon pintar anda.

3. Ingat bahawa umur dan matlamat kewangan anda adalah penting.

Sentiasa pertimbangkan usia dan matlamat kewangan anda setiap kali anda ingin membuat keputusan pelaburan.
Umur memainkan peranan besar dalam portfolio pelaburan seseorang. Benar bahawa semakin muda anda, semakin tinggi risiko yang anda boleh ambil. Namun, itu hanya bermakna anda mempunyai lebih ruang dan masa untuk melakukan kesilapan.

Walaupun anda mungkin mempunyai jangkamasa pelaburan yang panjang, adalah sesuatu yang bijak untuk anda menilai semula portfolio pelaburan anda sekali-sekala agar sesuai dengan usia dan matlamat kewangan anda yang berubah-ubah.

4. Kenali ‘bakul-bakul’ yang ada sebelum anda meletakkan ‘telur-telur’ anda (Bukan sekadar tidak letak semua ‘telur anda di dalam satu bakul’).

Ada yang benar-benar percaya bahawa kuih raya yang berbeza bentuk dan warna mempunyai rasa yang berbeza, sedangkan sebenarnya satu-satunya perkara yang berbeza adalah rupa semata-mata. Perkara yang sama berlaku di dalam pilihan pelaburan.

Kepelbagaian adalah penting, tetapi tidaklah wajib sepanjang masa, dan kadangkala bukanlah seperti yang anda fikirkan.

Sebagai contoh, meletakkan wang anda di dalam unit amanah yang melabur di dalam papan utama bursa tempatan yang diuruskan oleh syarikat A dan B pada satu-satu masa bukanlah dinamakan mempelbagaikan pelaburan kerana kedua-dua dana tersebut mempunyai portfolio di dalam ruang lingkup yang sama.

Pada masa pasaran bergelora dan tidak menentu, mempelbagaikan pelaburan ke dalam beberapa kelas aset, industri atau rantau geografi yang berbeza dapat meminimakan risiko.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 16 Ogos 2021

Namun, pada masa yang sesuai, anda boleh mengurangkan kepelbagaian anda (jika anda telah mendapat maklumat sahih yang baik) dan mampu meningkatkan pulangan anda.

Dengan pilihan yang pelbagai, anda mungkin mempunyai satu portfolio yang jatuh merudum, sementara yang lain melambung tinggi bak roket yang menerjah angkasa.

Ini membantu mengurangkan risiko kerugian anda tetapi pada masa yang sama juga mengurangkan keuntungan anda. Yang penting, anda perlu tahu tiada pelaburan yang menjanjikan keuntungan semata-mata. Setiap pelaburan pasti akan diiringi risiko.

5. Nikmati kehidupan dan berpijak di bumi yang nyata.

Orang tenang selalu menang, seperti sang kura-kura yang memenangi perlumbaan dengan si arnab. Orang tamak selalu rugi, seperti anjing dengan bayang-bayangnya sendiri.

Sikap tamak, terburu-buru, cepat panik, kelam-kabut, atau terlalu risau hanya akan merugikan anda.

Jauhi mereka yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi dan pelaburan tanpa risiko. Mungkin saja ribuan ringgit yang anda harapkan akan memberikan pulangan berganda hanya bertukar menjadi kenangan.

Belajar daripada sejarah dan berpegang pada asas-asas pelaburan dapat menyelamatkan wang anda. Ramai orang mengalami kerugian besar kerana sikap tamak dan terpercaya kepada skim-skim yang menjanjikan bulan dan bintang.

Malah, ada pula yang tidak pernah membuat sebarang keputusan kerana terlalu memikirkan strategi pelaburan dan terlalu menyulitkan keputusan mereka.
Kadangkala anda perlu mengambil satu langkah ke belakang dan rujuk semula kepada asas-asas pelaburan seperti yang telah dijelaskan di atas.

Penulis adalah seorang Perunding Kewangan Berlesen dan ahli Grup Penulis PAS Melaka.