“Saff Bahtera BPPNS” | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Us. Syarhan Humaizi Halim
Ketua Penerangan PAS Selangor
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H kepada semua rakyat Malaysia khususnya di Negeri Selangor. Peralihan dan kehadiran tahun baru hijrah pada tahun ini menjadi manifestasi ke arah kekuatan ummah yang lebih baik dari sebelum ini.
Peristiwa Hijrah Nabi SAW bukan hanya sekadar untuk umat hari ini meraikannya dengan ucapan dan slogan melalui poster-poster yang memaparkan gambar masing-masing. Namun hakikatnya, ruh hijrah ini perlu diterokai dan diselami dengan melihat bagaimana usaha Nabi Muhamad SAW menegakkan Kerajaan Madinah dengan terlebih dahulu membina penyatuan ummah.
Penyatuan ini bukan sahaja dikalangan mereka yang lunak dengan perjuangan Nabi, akan tetapi juga terhadap mereka yang keras dan telah bermusuhan lama, dijinakkan dengan agenda besar iaitu kedaulatan Islam dan kekuatan penyatuan ummah itu sendiri. Secara tidak langsung ianya membuang ego, kepentingan peribadi, menyingkirkan agenda-agenda musuh yang tersembunyi dengan dizahirkan wajah yang kononnya menginginkan sesuatu yang terbaik buat ummah.
Jika nama besar zaman jahiliyyah sebelum mereka memeluk Islam, menentang, merancang lawan Nabi bahkan mengatur strategi untuk membunuh Nabi SAW seperti Abu Sufyan bin Harb, Suhail bin Amru, Khalid Ibnu Walid, Ikrimah bin Abu Jahal dan lain-lain boleh menerima perjuangan dan agenda penyatuan ummah yang dibawa oleh Nabi SAW, apa la sangat kita. Apa yang menjadi batu penghalang? Agenda apa yang lebih besar berbanding apa yang pernah disajikan oleh Nabi SAW buat kita? Ambil resepi hijrah dengan menuju kemenangan melalui penyatuan ummah.
1 Muharam 1443H | 10 Ogos 2021
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor