Home Rencana PAS Selangor

Hijrah 1443H : Manhaj rabbani ummah berkualiti – Pemangku Ketua DUPN Selangor

371
SHARE

May be an image of 3 people, headscarf and text

“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Nushi Mahfoz
Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr 59:9)

Perkataan “Rabbani” membawa maksud bertuhan, berteras kepada pengetahuan agama dan bersatu bertindak atas ikatan aqidah Islamiyyah.

Peristiwa Hijrah menterjemah konsep Manhaj Rabbani dengan begitu jelas apabila Hijrah itu sendiri merupakan suatu perintah dan tuntutan daripada Allah swt kepada Nabi Muhammad saw dan para sahabat; bukan pilihan peribadi Baginda saw.

Menariknya, sifat kehambaan yang ditonjolkan oleh Nabi saw dalam peristiwa tersebut telah menatijahkan sebuah garapan gerak kerja yang sangat berstrategik dan bersistematik untuk rujukan umat sejagat sepanjang zaman.

Peristiwa yang dimulai dengan Peristiwa Israk dan Mikraj kira-kita setahun setengah sebelum peristiwa Hijrah mengajar kita betapa “perjalanan dari masjid (al-haram) ke masjid (al-aqsa)” yang berakhir dengan kefarduan solat telah didahulukan oleh Allah swt buat Nabi saw sebelum “perjalanan dari kota (Mekah) ke kota (Madinah)” yang berakhir dengan pembinaan Negara Islam Madinah. Maka tidak peliklah, perkara pertama yang dibangunkan Baginda saw apabila sampai di Madinah adalah membangunkan manusia dengan membangunkan masjid terlebih dahulu sebagai asas pembangunan sebuah masyarakat atau negara.

Ternyata, orang yang biasa membangun dan memimpin masjid akan terbentuk dengan beberapa kriteria dan sifat asas penting dalam bermasyarakat dan bernegara seperti:

1. Meletakkan ketetapan Allah (Islam) lebih daripada segalanya dalam segenap aspek kehidupan; ia berhajat kepada kekuatan ilmu dan iman.
2. Secara automatik akan mengutamakan maslahah umat Islam dan kesatuannya dalam membuat keputusan dan tindakan tanpa menafikan hak dan kepentingan agama lain.
3. Sentiasa memikirkan kebajikan masyarakat sehingga terbina jiwa suka memberi dan berkorban ataupun “ithar”; mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri yang sekaligus akan menghindar jiwa ‘kapitalis’ yang mementing diri sendiri. Masjid bukan medan mengaut keuntungan duniawi, sebaliknya ladang pahala untuk akhirat .
4. Bijak memilih ‘imam’ seterusnya terdidik untuk sentiasa akur dan patuh kepada arahan imam tidak kira sama ada imam tersebut lebih muda atau tua, miskin atau kaya mahupun apa bangsanya; asasnya selagimana imam tersebut mengikut panduan Ilahi kita akan berbahagia menurut sahaja sebagai makmum. Punbegitu, andai ada cacat dan cela yang boleh membatalkan solat, kita sebagai makmum wajib menegur dengan nama Allah: “subhanallah”; bukan membesarkan nama sendiri atau menghina sesiapa.
5. Sangat memelihara masa; terikat dengan sistem dan waktu solat.

Maka tidak peliklah dengan asas ini, usaha penyatuan ummah yang dilakukan Nabi saw menjadi semakin mudah dan lancar dalam menyatukan Aus dan Khazraj yang sejak sekian lama bersengketa; juga diantara Muhajirin dan Ansar yang akhirnya menjadi begitu mesra dan selesa. Inilah kekuatan ummah yang perlu sama-sama kita teladani dan bangunkan pada hari ini.

Akhirnya, sebagai model sepanjang zaman sebuah negara yang bertamadun, tidak sempurna penyatuan ummah tersebut dalam membangun negara tanpa dilibatkan mereka yang belum menganut agama Islam. Lantas Nabi saw mengikat masyarakat berbilang agama dan bangsa ini dengan sebuah piagam – the first written constitution in the world – Sahifah Madinah sebagai pernyataan hak dan tanggungjawab bersama sebuah masyarakat bertamadun untuk sama-sama membangun dan memelihara tanahair tercinta. Maka jelas kepada kita dan yakinilah bahawa dengan kita berpegang kepada Manhaj Rabbani, Masyarakat Berkualiti akan terlahir dengan bantuan Ilahi, insya Allah.

Salam Maal Hijrah 1443H: Manhaj Rabbani, Masyarakat Berkualiti

1 Muharram 1443H | 10 Ogos 2021

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor