“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Diantara cabaran besar pembentukan sesebuah bangsa dan ummah ialah penyatuan. Ia akan terus menjadi satu jihad dan usaha yang berterusan serta berpanjangan dipenuhi dengan cubaan dan fitnah tidak berkesudahan. Ia tidak akan berjaya direalisasikan kecuali melalui liku-liku kesabaran dan ketabahan.
Ketibaan Baginda Nabi saw di Madinah meletakkan agenda utama ialah dengan menyatukan ummah Islam iaitu menerusi persahabatan antara Muhajirin dan Ansar selepas mendamaikan puak-puak di Madinah di kalangan Aus dan Khazraj.
Agenda penyatuan umat Islam menjadi tanggungjawab utama sesebuah masyarakat Islam dan diletakkan di atas bahu setiap umat Islam. Maka umat Islam wajib melaksanakan agenda penyatuan ini sebagai tanggungjawab keimanan kerana ia merupakan perintah daripada Allah azzawajalla.
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Surah Al-Hujurat 9-10)
Ayat ini menjelaskan tentang tanggungjawab dan peranan umat Islam bagi mendamaikan pertelingkahan dan persengketaan yang berlaku di antara orang beriman ketika mereka berbunuhan atau perang. Maknanya umat Islam yang berperang pun diperintah Allah agar didamaikan mereka, maka umat Islam yang hanya berselisih pendapat, bersengketa dalam politik dan kuasa lebih utama diusahakan agar mereka kembali kepada perdamaian dan penyatuan.
Realitinya yang perlu disedari bahawa penyatuan ummah sedang berhadapan dengan liku-liku mencabar. Jahiliyah moden masih lagi berakar umbi dan berputik benih-benih baharu yang menjejaskan sebarang usaha menyuburkan penyatuan ummah.
Jahiliyah moden yang dimaksudkan adalah sikap mementingkan diri sendiri dan kumpulan sendiri yang perlu dikikis demi kebaikan masa depan dan maslahat yang lebih besar.
“..Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Dimaksudkan Abdullah bin Ubai kami yang mulia itu ialah dia dan kumpulannya dan yang hina itu ialah Nabi saw dan para sahabatnya. Sehingga Saidina Umar meminta izin daripada Nabi saw agar membenarkannya membunuh Abdullah bin Ubai tetapi ditegah Baginda saw.
Akar Jahiliyyah masih lagi tertanam dalam diri sebahagian masyarakat iaitu sikap jiwa kecil dan mementingkan diri dan kumpulan sendiri tanpa melihat ke arah lebih jauh dan lebih luas. Umat Islam dan Islam dalam konteks negara Malaysia memerlukan kekuatan bagi mempertahankan saki baki nilai dan harga yang masih tinggal.
Lihatlah bagaimana kekayaan negara ini telah dikaut dan dirobek oleh sebilangan manusia sejak zaman penjajahan lagi. Hasil bumi dan kekayaan negara dianugerah Allah dibawa keluar oleh penjajah sebanyak-banyaknya. Negara penjajah menjadi kuasa ekonomi dunia melalui hasil bumi daripada negara umat Islam yang dijajah. Sesudah merdeka pula, penjajah dengan licik meninggalkan negara dalam keadaan sosio ekonomi yang tempang agar umat Islam kekal ketinggalan dalam sosio ekonomi.
Kuasa politik umat Islam pula dikikis sedikit demi sedikit menerusi fahaman anti politik, anti establishment dan sekularisme. Umat Islam yang kurang ilmu dimomokkan pula dengan kebencian kepada politik kononnya politik tidak mendatangkan faedah dan kebaikan melainkan hanya penuh dengan perbalahan dan perebutan kuasa.
Jahiliyyah dalam pemikiran pula diperkukuhkan oleh penjajah dengan sistem pendidikan sekular dan barat yang tidak bertuhan dimasukkan dalam otak umat Islam agar umat Islam menjadi hamba penjajah walaupun ketiadaan penjajahan fizikal mereka.
Tidak cukup dengan itu, munafik moden juga muncul sepanjang zaman dalam selimut umat Islam yang meneruskan agenda Abdullah bin Ubai dengan bersekongkol dengan musuh penyatuan Umat Islam. Munafik Moden ini lebih setia kepada musuh Islam daripada Islam dan Umat Islam sendiri. Malah mereka turut bergembira melihat umat Islam terus bermusuhan dan bersengketa tanpa berkesudahan. Mereka rela menjadi pencacai dan khadam kepada musuh penyatuan dan perpaduan. Melakukan fitnah dan provokasi serta adu domba di dalam kelambu dan selimut umat Islam.
Justeru, Akar Jahiliyyah moden ini perlulah dirobek dan ditarik keluar daripada tanah yang selama ini ia memakan umat Islam daripada dalam. Sehingga pertumbuhan penyatuan ummah tidak terbantut disebabkan segala khasiat kesuburan dicuri oleh akar Jahiliyyah.
Umat Islam perlu sedar betapa besarnya potensi Islam dan Umat Islam dengan pereputan akar Jahiliyyah ini. Menerusi penyatuan ini maka Umat Islam bakal memiiki kekuatan ekonomi dan politik yang mampu membina negara Malaysia yang lebih mulia dan hebat. Negara Malaysia adalah sebuah negara umat Islam yang diletakkan harapan umat Islam serata dunia. Tiada negara umat Islam di dunia yang memiliki kemampuan sebagaimana Malaysia iaitu dengan kedudukan negara yang strategik, sumber hasil negara yang kaya dan juga pegangan Islam yang utuh. Mungkin kelebihan ini juga dilihat oleh musuh Islam sebagai ancaman lalu mensasarkan Malaysia sebagaimana negara yang perlu diperkotak-katikkan agar resepi kekuatan umat tidak dijayakan.
Marilah kita sebagai Umat Islam di negara ini kita kembali kepada Islam agama fitrah yang pernah membina Tanah Melayu suatu ketika dahulu sebagai empayar nusantara yang disegani dan dikagumi.
Elakkan bibit persengketaan dan perpecahan yang hanya menguntungkan musuh Islam dan golongan pembenci penyatuan dan perpaduan. Letakkan maslahah ummah dan Islam yang kita sama-sama cintai melebihi kepentingan peribadi dan sekelompok manusia yang hilang jatidiri dan keyakinan kepada Islam sebagai agama rahmat sekalian alam.
“Kita jaga kita”
Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
10 Ogos 2021 | 1 Muharram 1443H
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor