Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 7 Ogos: Konvensyen Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Perlis yang berlangsung hari ini memberikan penumpuan terhadap persediaan jentera penerangan menghadapi PRU ke-15 nanti.
Menurut Timbalan Pengerusi 1 LPMB PAS Perlis, Nur Yusairy Mansor, sebahagian besar maklumat serta arahan berfokus kepada gerak kerja penerangan di peringkat negeri dan kawasan dalam menyampaikan maklumat parti dan kerajaan kepada masyarakat.
“Akses internet yang semakin baik serta peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan media sosial yang cukup tinggi menjadi cabaran kepada jentera penerangan baik di peringkat negeri mahupun kawasan, dalam memastikan informasi parti dapat diurus dan disampaikan dengan baik.
“Namun, konvensyen yang diadakan pada hari ini berjaya memperjelas dengan baik cara kerja jentera LPMB yang efektif khususnya bagi menghadapi pilihanraya (PRU-15) nanti,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.
Sementara itu Setiausaha LPMB PAS Perlis, Ahmad Ashraf Mohd. Khairudin pula berkata, penganjuran konvensyen amat bertepatan dengan situasi politik yang sedang berlaku dalam negara pada ketika ini.
“Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 semakin jelas dirasai mutakhir ini dan keadaan ini menuntut persediaan dan pengorbanan yang amat tinggi dalam kalangan jentera penerangan khususnya.
“Justeru, penganjuran konvensyen hari ini, walaupun terpaksa diadakan secara maya sahaja, diharapkan dapat membakar motivasi para petugas LPMB di semua peringkat untuk memperkemas lagi gerak kerja penerangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.
“Alhamdulillah, kami berasa bertuah kerana dua tokoh penting yang dijemput pada hari ini iaitu Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan Setiausaha LPMB PAS Pusat Mohd. Shuhaimi Embong, berjaya mengupas dengan cukup jelas walaupun singkat, berkenaan strategi dan kaedah kerja penerangan.
“Di pihak LPMB PAS Negeri Perlis, insya Allah kami sedia menggalas segala tugas yang diamanahkan oleh parti dengan sebaik mungkin,” ujarnya.