Oleh: Haikal Mohd Noh
IPOH, Buat pertama kali, program Konvensyen Penerangan dan Media Baharu anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Perak hari ini diadakan secara maya.
Program yang berlangsung secara norma baharu itu susulan pandemik Corona Virus Disease 2019 (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.
Konvensyen tersebut dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Timbalan Pengerusi 2 LPMB PAS Pusat manakala ucapan perasmian dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga merupakan Adun Gunong Semanggol.
Program itu diadakan bagi menyampai objektif penerangan yang ditetapkan oleh PAS Pusat untuk dilaksanakan kepada seluruh ahli PAS yang terlibat sehingga ke cawangan-cawangan PAS seluruh negeri Perak.
Menerusi konvensyen yang diadakan ini, turut menampilkan tiga Ahli Dewan Negeri (ADUN) PAS dalam negeri Perak untuk berkongsi pengalaman dan cabaran dalam pentadbiran kerajaan.
Dengan berlangsungnya konvensyen itu, maka sejumlah petugas ejen penerangan PAS MELEBIHI 1,000 orang dari pelbagai peringkat berjaya mengambil bahagian.