PEMIMPIN PH JANGAN MENANGGUK DI AIR KERUH
1. Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor melihat secara dekat Persidangan Khas Parlimen Malaysia yang telah berjalan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai 2021 .
Namun, sayangnya peluang untuk membahaskan isu rakyat telah disia-siakan dan jauh tersasar dari apa yang rakyat harapkan.
2. Ruang untuk berbahas tentang isu rakyat dan membincangkan isu pandamik COVID -19, akhirnya telah bertukar seperti di gelanggang sarkas dan zoo.
3. Apa yang paling menyedihkan ketika Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua sidang dewan bertafakur sebentar untuk membaca Al-Fatihah bagi mendoakan mangsa COVID 19 yang telah meninggal dunia, Ahli Parlimen blok pembangkang PH dengan sengaja membuat bising dan langsung tidak menghormati saranan Perdana Menteri.
4. Amat mendukacitakan ruang yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat, tidak dimanfaatkan sebaiknya akibat mabuk kuasa tanpa menyelami denyut nadi kesusahan rakyat .
5. Wanita PN Negeri Johor optimis dan percaya bahawa sikap Ahli-ahli Parlimen Malaysia daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyerlahkan sikap seperti itu telah menambahkan lagi kebencian rakyat.
Tidak mustahil kebencian ini akan diterjemahkan di peti undi untuk memilih kepimpinan yang jauh lebih berwibawa dan berintegriti berbanding mereka.
6. Meskipun mungkin terdapat beberapa kelemahan di pihak kerajaan dalam proses melaksanakan Pelan Pemulihan Negara, seharusnya pihak mereka berilah pandangan dan penambahbaikan sebagai ‘check and balance’ dengan penuh hikmah, beradab dan berakhlak di saat rakyat negara ini dan seluruh dunia sedang berdepan dugaan berat dalam mendepani pandemik COVID -19.
7. Ternyata mereka gagal menunjukkan contoh teladan yang baik kepada generasi pelapis pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang dengan aksi dan gelagat mereka yang tidak matang serta berperangai kebudak-budakan.
8. Justeru, Wanita PN Johor sekali lagi ingin menyeru semua agar berhenti bermain dengan retorik politik semata -mata.
Tumpuan sepenuhnya adalah untuk menempuhi cabaran norma baharu di saat pandemik Covid-19 melanda dan membantu rakyat dalam proses pemulihan negara.
9. Bukan mudah sebenarnya bagi rakyat marhaen untuk mengadaptasi perubahan dalam mengharungi ujian berat kehidupan ini bila virus Corona Virus melanda. Maka, berpada -padalah agar jangan menjadi seperti tikus membaiki labu kerana rakyat tidak pernah lupa pengalaman pahit selama 22 bulan ketika PH mentadbir negara Malaysia.
10. Wanita PN Johor menjunjung tinggi sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negara Malaysia.
Kami tetap berdiri teguh bersama YAB Perdana Menteri Malaysia dalam membuat semua keputusan yang telah diputuskan oleh kabinet.
11. Wanita PN Negeri Johor menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politik dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19 melanda.
Keamanan negara, kestabilan politik serta perpaduan rakyat amat penting dalam keadaan rakyat sedang menghadapi ancaman pandemik COVID 19 di negara Malaysia yang tercinta.
Sekian, terima kasih.
Salam hormat,
NORMALA SUDIRMAN
Ketua Penerangan Wanita PN Negeri Johor
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor
31 Julai 2021