Oleh: Adli Mohamad
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Keberkesanan penggunaan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi perlu dibuktikan melalui kajian saintifik sebelum diluluskan oleh Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata sebagai kerajaan nyawa rakyat tidak boleh diambil mudah dengan mengarahkan agensi terbabit meluluskan begitu sahaja tanpa melihat piawaian yang perlu dipatuhi.
“Dalam kelulusan penggunaan vaksin sebagai contoh, sekali pun kerajaan mahukan kelulusan yang cepat. kerajaan tidak semudah itu mengarah untuk diluluskan segera.
” Sputnik V misalnya, walaupun berada dalam senarai vaksin yang menjadi pilihan kerajaan dan terdapat data klinikal yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet yang menjadi rujukan seluruh dunia, sampai sekarang masih belum diluluskan kerana mempunyai senarai pematuhan yang perlu dipenuhi,” ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini,
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata sekiranya diluluskan begitu sahaja kerajaan berisiko menghadapi pelbagai masalah serius pada jangka masa panjang yang akan dibangkitkan rakyat termasuk apabila berlaku kes kematian.
“Bagaimana bentuk keterangan yang boleh diberikan dalam sebarang kes mahkamah tanpa adanya bukti tentang kesesuaian penggunaan Ivermictin untuk rawatan Covid 19?.
“Juga perlu berhadapan dengan keterangan saintifik yang bertentangan hasil kajian yang telah dilengkapkan oleh agensi kawal selia pelbagai negara lain, (termasuk) pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan yang terbaru kajian saintifik oleh Universiti Oxford,” katanya.
Ujarnya, pendirian syarikat pengeluar Ivermectin itu sendiri juga perlu diteliti untuk digunakan sebagai perawatan Covid-19.
“Mengapa dibiarkan dia digunakan secara ‘óff label’, setakat mana keputusan kajian yang mereka ada dan adakah dibuat kajian?.
“Tidakkah sepatutnya pengeluar lagi beruntung jika ia dibuktikan secara saintifik berkesan dan selamat untuk rawatan Covid-19,” ujarnya.
Sebagai syarikat yang besar dan berkemampuan katanya, sewajarnya telah diadakan desakan oleh penyokong tetap yang mendesak ia diluluskan secara meluas.
Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, keputusan ujian klinikal berhubung keberkesanan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi dijangka akan diketahui pada September ini.
Kajian keberkesanan rawatan Ivermectin pada pesakit berisiko tinggi Covid-19′ telah dipersetujui Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (MREC).