Nukilan: FARIDAH KAMARUDDIN
Kekadang kita tercari- cari di mana hilangnya bahagia dan ketenangan…
menangis kita,
bersedih kita,
kecewa kita…
Rupanya Allah SWT nak bagi kita cinta-Nya, dan keampunan-Nya.
Allah SWT nak kita kembali kepada-Nya dalam taat kita, dalam lautan doa-doa kita, dalam muhasabah kita, dalam mujahadah kita menundukkan nafsu agar taat, dalam penyucian hati-hati kita dari karat-karat dosa dan noda silam…
Menangis-nangis kita, sambil berlari-lari mencari erti kebenaran.
Badai datang merubah pantai kehidupan kita, membersih saki baki noda hitam kehidupan.
Hari ini.. kita berdiri lagi. Berdiri dalam kekuatan hati dan iman.
Kita sudah tidak peduli godaan nafsu dan syaitan yang mengajak untuk durhaka, untuk menyimpang dari jalan Tuhan, untuk putus asa dari rahmat Tuhan dan tertipudaya dengan pengaruh jahatnya manusia.
Badai semalam telah menjadikan kita kenal erti hidup berTuhan.
Kenal erti hidup mengikut sunah Rasulullah.
Kenal erti hidup bersabar dan tawakkal.
Moga kelam dan badai semalam akan terus padam dan hilang dengan datangnya sinar kebenaran, sinar hidayah, sinar keredhaan dan sinar keampunan Tuhan.
Aamiin…
Aku akan sentiasa bersama indahnya hidup berTuhan, walaupun badai ujian tiada noktah sepanjang kehidupan, ‘sunnatullah’.
Wallahu a’lam.