Home Berita PAS Terengganu

26 SJR kekal dalam fasa kedua PPN di Terengganu

77
SHARE

Oleh:Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri

KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu masih mengekalkan 26 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negeri sehingga kini dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi berkata, SJR tersebut dilaksanakan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk dengan kolaborasi pelbagai jabatan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya.

“Sementara itu, 135 pasukan pemantau pematuhan Prosedur Opearsi Standard (SOP) diketuai PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan digerakkan bagi memastikan masyarakat negeri Terengganu mematuhi peraturan dan mengekang potensi penularan wabak COVID-19.

“Antara jentera yang digerakkan dalam usaha ini melibatkan kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya turut membuat tinjauan ke pusat tumpuan orang ramai seperti di bank, pasar, taman perumahan dan lain-lagi di samping membuat hebahan mengenai SOP serta amaran kompaun jika berlaku ketidakpatuhan.

Sementara itu, Norhalid turut melaporkan 554 pemeriksaan dijalankan di seluruh negeri di bawah Ops Patuh bagi mengekang penularan khusus di sektor kilang, rumah asrama pekerja dan premis perniagaan besar.

“Sehingga pertengahan Julai ini, sembilan kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ini adalah sebagai pengajaran supaya kita sentiasa mematuhi SOP terutamanya di tempat kerja,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, keseluruhan tenaga penguatkuasa PDRM Terengganu yang telah dan sedang digerakkan sejak PKP pertama hingga kini adalah seramai 2,137 orang.