Bertadarus al-Quran merupakan salah satu pengisian Ramadan yang patut dimanfaatkan oleh setiap umat Islam di sepanjang bulan yang penuh kemulian ini.
Bertadarus al-Quran seiring dengan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan.
Alasan yang diberikan kerana kesuntukan masa atau tiada masa terluang bergantung kepada bagaimana setiap individu itu dapat membahagi masanya untuk meluangkan membaca al-Quran.
Kenapa kita sempat untuk melakukan perkara lain sedangkan kita tidak dapat memberikan masa untuk membaca al-Quran?
Kita telah banyak menggunakan masa untuk melakukan pelbagai perkara di bulan-bulan lain selain Ramadan.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, jadilah di sepanjang hayat kita sebagai orang yang rabbani iaitu orang yang khusyuk terhadap Allah SWT dan keadaan khusyuk itu janganlah terhad hanya pada Ramadan sahaja.
Jika di sepanjang Ramadan kita tidak mampu untuk melakukan perkara seperti membaca al-Quran, apatah lagi pada bulan-bulan lain.
Bertadarus al-Quran juga merupakan motivasi untuk diri agar terus istiqamah dalam mengukuhkan hubungan sesama manusia seterusnya kekal menghayati ketaatan kita kepada perintah Allah SWT.
Membaca al-Quran juga termasuk dalam wirid yang kita lakukan juga termasuk dalam sebahagian doa kerana terdapat ayat-ayat Allah yang berbentuk doa.
Di bulan Ramadan terdapat tiga golongan yang Allah mustajabkan doanya. Pertama orang yang berpuasa, kedua orang yang dizalimi dan ketiga orang yang bermusafir.
Jadi, apabila kita berpuasa, kita banyakkan membaca al-Quran dan berzikir, sudah tentu doa kita kepada Allah SWT mudah untuk dimakbulkan.
Manakala keghairahan untuk berhari raya berbanding tidak seronok untuk berpuasa bukanlan budaya Islam.
Justeru di bulan penuh kemuliaan ini, sama-samalah kita berharap pada setiap individu dapat melakukan perubahan dengan menukar keghairahan menyambut hari raya kepada keghairahan membaca al-Quran serta memperbanyakan amal ibadat.
Sedangkan Saidina Umar r.a apabila Ramadan semakin penghujung, baginda berasa sebak serta mengalir air mata.
Apabila sahabat-sahabat lain bertanya, beliau menjawab Ramadan akan meninggalkan kita. Dan Ramadan akan datang belum tentu kita akan bersamanya lagi.
Cikgu Shokri b Hj.Fauzi
9 Jun 2017
14 Ramadan 1438 H.
{jathumbnail off}