Minda Presiden PAS
AFGHANISTAN: KENANGAN BERSAMA ALMARHUM USTAZ FADZIL MOHD NOOR
Kini tiba pula giliran Amerika Syarikat dan sekutunya berundur dari Afghanistan, setelah semua kuasa besar sebelumnya yang cuba untuk menaklukinya menemui kegagalan. Sekalipun kuasa-kuasa besar itu membawa segala kekuatan ketenteraan untuk memaksa dan segala kekayaan untuk membeli rakyatnya.
Amir Syakib Arsalan, penulis sebuah buku terkenal ‘Realiti Dunia Islam Semasa’ (Hadhir al-‘Alam al-Islami) menyifatkan Afghanistan yang berjaya menghalau semua penjajah dengan menegaskan:
لو لم يبق للإسلام في الدنيا عرق ينبض، لرأيت عرقه بين سكان جبال الهملايا والهندكوش نابضًا، وعزمه هناك ناهضًا!
“Sekiranya dunia Islam ini dibandingkan dengan satu jasad yang telah direbahkan, di sana masih terdapat satu nadi dan saraf yang masih berdenyut. Akan dapat disaksikan bahawa nadi yang tidak boleh dihentikan itu ialah negara di banjaran Himalaya dan Hindu Kush (iaitu Afghanistan), mereka di sana masih bangkit menentang penjajah.” (Amir Syakib Arsalan, Hadhir al-‘Alam al-Islami, jld. 2, ms. 197)
Walaupun kebanyakan penduduknya adalah buta huruf dan miskin, tetapi mereka sangat kuat berpegang dengan agama Islam. Sehingga tanah air mereka tidak mampu dijajah dan penduduknya pula tidak dapat dikalahkan oleh semua kuasa besar yang cuba menakluki mereka.
Pada awal abad yang lalu, penjajah British yang merupakan kuasa terbesar dunia pada era itu telah menguasai India dan menghantar bala tentera bagi menakluki Afghanistan. Akibatnya ramai dalam kalangan anggota tentera British telah berjaya dihapuskan dan operasi yang dilakukan telah gagal.
Pada abad yang lalu, Kesatuan Soviet (Soviet Union) iaitu kuasa besar Komunis juga menghantar bala tentera yang besar bagi menguasai Afghanistan ketika era bermulanya kebangkitan Islam di sana. Akhirnya mereka juga berundur, kemudian negara Kesatuan Soviet yang paling besar dan paling luas wilayahnya berkecai, dan berlakulah kebangkitan semula Islam di Asia Tengah dalam negara Kesatuan Soviet itu.
Terkini Amerika Syarikat bersama sekutunya daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan lain-lain negara menyerang Afghanistan atas nama menentang keganasan dengan mengerahkan bala tentera yang besar dan alat persenjataan yang dikatakan paling canggih. Sehingga menjadikan Amerika Syarikat bertindak lebih ganas, namun akhirnya mereka juga terpaksa berundur dari Afghanistan.
Mana-mana kerajaan Afghanistan yang pernah ditaja oleh semua kuasa besar juga tidak mampu bertahan, kerana rakyatnya tidak mengizinkan berlaku sebarang campur tangan asing dalam negara mereka.
Walaupun negara dan rakyat Afghanistan dalam kalangan yang termiskin, tetapi jiwa mereka yang kaya dengan keimanan tidak pernah tunduk kepada mana-mana kuasa selain daripada Islam. Namun begitu, kejahilan agama terus menjadi masalah dalaman yang tidak mampu menyatukan perbezaan suku, kaum dan mazhab. Khususnya kejahilan dalam memahami fiqh jihad secara berjemaah dan fiqh politik yang sudah jauh ketinggalan.
Bahkan, ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini juga dihinggapi wabak ini, apabila mereka menganggap bahawa politik bukanlah daripada ajaran Islam. Inilah kesan daripada serangan pemikiran oleh syaitan penjajah supaya politik berada di tangan mereka sahaja, agar terus dapat memerintah dan mentadbir umat Islam dengan cara mereka.
Umat Islam meninggalkan urusan politik yang mentadbir agama dan umat, serta meninggalkan ajaran Islam yang menjadi sebahagian daripada kewajipan manusia di alam dunia. Hal tersebut sebagaimana yang diisytiharkan oleh Allah SWT kepada para malaikat, sewaktu menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam AS. Firman Allah SWT:
﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka bertanya: ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu mereka yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak mengetahuinya.’” (Surah al-Baqarah: 30)
Para ulama’ mentafsirkan makna Khalifah dengan maksud berpolitik mentadbir dengan Islam.
Sabda Rasulullah SAW:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ.
“Adalah para anbiya’ daripada kalangan Bani Isra’il menjadi pemimpin siasah (politik menghadapi kerajaan bukan sahaja rakyat).” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)
Semua para anbiya’ yang berakhir dengan Rasulullah SAW yang berhijrah ke Madinah, melaksanakan kewajipan politik bersama menunaikan ibadat yang wajib diteruskan oleh umat yang setia.
Pegangan mazhab penduduk Afghanistan yang paling kuat ialah Mazhab Hanafi dan sedikit mazhab yang lain. Manakala suku kaumnya pula terdiri daripada kalangan puak Pashtun yang paling besar jumlahnya dan sebahagiannya berada di negara Pakistan. Kemudian, kabilah Tajik dan Uzbek pula masing-masing terdapat di negara luar Afghanistan iaitu di Tajikistan dan Uzbekistan.
Sikap fanatik terhadap mazhab dan suku kaum serta kejahilan agama dalam perkara yang disebutkan di atas, menjadi batu api yang mencetuskan pergeseran yang tajam dan keras dalam perkara cabang agama. Selain itu, secara langsung dan tidak langsung turut membuka ruang kepada campur tangan asing. Semua kuasa besar bersepakat untuk tidak mengizinkan sebuah negara Islam yang kuat ditegakkan di mana-mana negara.
Gerakan Islam antarabangsa pernah berusaha untuk menyatukan para mujahidin yang berjaya mengalahkan Kesatuan Soviet, namun usaha tersebut gagal kerana pihak asing dengan sengaja mendukung kumpulan Taliban yang kuat dan fanatik mazhab Hanafi. Lalu, mereka digerakkan untuk berkuasa tanpa memahami fiqh politik bagi mengalahkan kumpulan mujahidin yang cuba diselaraskan oleh gerakan Islam.
Hakikatnya mereka tetap tidak mengizinkan wujud sebuah negara bercirikan Islam, tanpa mengira mazhab sama ada Sunni mahupun Syiah. Termasuklah kumpulan Taliban yang hanya bermazhab Hanafi dan puak yang paling ramai terdiri daripada kalangan Pastum juga ditolak kerana Islam yang mereka anuti. Sebagaimana penolakan terhadap Iran juga disebabkan pegangan Islam, walaupun mereka bermazhab Syiah.
Akhirnya, kerajaan Taliban dijatuhkan dengan serangan secara besar-besaran oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dengan sebab yang sama, kerana Islam yang menjadi pegangan mereka.
Saya bersama Presiden PAS ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor menyertai rombongan para pemimpin parti-parti Islam dari beberapa buah negara masuk ke Afghanistan selepas pengunduran tentera Kesatuan Soviet. Misinya ialah untuk menyatukan kumpulan mujahidin yang tidak boleh disatukan.
Masalahnya sangat kecil, apabila tidak diterima Almarhum Ahmad Shah Mas‘ud, panglima terkenal daripada kaum Tajik, dilantik menjadi Menteri Pertahanan kerana mengambil kira peranan pasukannya yang berjaya memasuki Kabul dan membebaskannya daripada cengkaman tentera Kesatuan Soviet.
Kami berjumpa dengan semua pemimpin mujahidin yang tidak mampu menguasai pengikut masing-masing, lalu kami menasihati supaya mereka bersatu bersama Islam dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Sewaktu kami berdua sedang berehat di bilik penginapan, Almarhum Ustaz Fadzil mencetuskan idea agar dilantik Majlis Pertahanan dan Menteri Pertahanan dilaksanakan secara giliran. Lalu, kami berdua menghadiri mesyuarat dan membawa cadangan tersebut yang akhirnya dipersetujui bersama oleh kumpulan mujahidin.
Setelah itu, Almarhum Ustaz Fadzil dan saya ditugaskan untuk berjumpa Gulbuddin Hekmatyar iaitu pemimpin parti Islam suku Pashtun yang berada di Jalal Abad, bagi mengemukakan cadangan. Alhamdulillah, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut. Malangnya pelaksanaan cadangan tersebut gagal, apabila para pemimpin tidak boleh menguasai kabilah masing-masing yang jahil terhadap agama.
Di sini menunjukkan betapa wajibnya agar berilmu secara bertafaquh dan perpaduan umat itu hendaklah diwujudkan terlebih dahulu sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW berpandukan kepada al-Quran. Contohnya, apabila Baginda SAW melakukan hijrah ke Madinah bagi menegakkan sebuah negara contoh. Firman Allah SWT:
﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai; dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian saling bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan hati kalian (sehingga kalian bersatu padu dengan ni‘mat Islam), maka kalian dengan ni‘mat Allah itu menjadi orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah, Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Kejahilan umat Islam terhadap agamanya sendiri dalam fiqh politik pada zaman mutakhir, menjadi halangan terbesar kepada usaha perpaduan Islam yang mampu memimpin. Maka, umat Islam wajib mempunyai ilmu agama dengan kefahaman bagi melaksanakannya, setelah sekian lama dikongkong oleh zaman penjajahan. Kefahaman Islam yang sempurna dapat diwujudkan serentak dengan pelaksanaannya, bukan berilmu tanpa ada pelaksanaannya.
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang telah berjaya melaksanakan ilmu secara praktikal. Tiada penangguhan ilmu yang terpisah daripada pelaksanaan.
Benarlah firman Allah SWT:
﴿وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ١٢٢﴾
“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya keluar (pergi berperang); hendaklah keluar sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka kembali; mudah-mudahan mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).” (Surah al-Taubah: 122)
Ayat di atas menunjukkan kewajipan wujud para pemimpin politik yang mentadbir dengan ilmu Islam dan melalui tarbiahnya, serta mempunyai keperibadian yang dihormati oleh orang lain. Hal ini demikian kerana, akhlak dan sifat kepimpinannya yang berpengaruh mentadbir rakyat secara ikhlas, bukan kerana takutkan kezalimannya atau tertipu dengan pembohongan dan lagak atau lakonannya yang berpura-pura.
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah menegaskan:
تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تَسُودُوا.
“Fahami (cara pelaksanaan Islam), sebelum kalian dijadikan pemimpin.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah 26116)
Selain itu, juga berpandukan kepada firman Allah SWT:
﴿وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ٥﴾
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan ikhlas beribadat kepada-Nya semata-mata dalam (menjalankan) agama yang lurus; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5)
Pada masa yang sama, menjadi satu kewajipan wujudnya sebuah jamaah yang mampu untuk mencapai kemenangan, setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kalian satu kumpulan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf, serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang beroleh kemenangan.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Jelas sekali, ini menunjukkan bahawa pegangan agama Islam yang kuat sekadar untuk diri masing-masing, tetapi jahil tentang ajarannya yang sempurna khususnya perintah yang mewajibkan berpolitik dan bersatu bersama Islam yang memimpin, akan menjerumuskan kepada tipu daya syaitan. Bahkan juga akan mendapat kemurkaan Allah SWT, kecelakaan di dunia dan kecelakaan di akhirat kerana tidak melaksanakan Islam dengan sempurna. Firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٠٨ فَإِنْ زَلَلْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٢٠٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kalian menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian. (208); Maka, jika kalian menyimpang (daripada jalan Allah), sesudah datang kepada kalian bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. (209).” (Surah al-Baqarah: 208-209)
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh pelaksanaan Islam yang sempurna daripada Allah SWT, bermula daripada menjaga diri masing-masing dengan Islam sehinggalah konsep berkeluarga dan bermasyarakat yang bersatu dengan kuasa politik Islam. Sekali gus mewajibkan diberikan baiah dan menolak tawaran politik jahiliah dengan segala kekayaannya.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً.
“Sesiapa yang mati tanpa ikatan baiah (kesetiaan kepada sesiapa yang mentadbirnya), nescaya dirinya laksana mati dalam jahiliah.” (Riwayat Muslim 1851)
Maka, urusan kehidupan tanpa kesetiaan kepada kuasa politik yang ditadbir oleh Islam yang menyatukannya, seolah-olah berada dalam keadaan jahiliah.
Walaupun seratus peratus rakyat Afghanistan beragama Islam sekadar untuk diri masing-masing, namun mereka terus gagal kerana tidak berilmu dan tidak bersatu. Perkara tersebut sangat penting supaya Islam boleh memerintah dan mentadbir politik negara dengan sempurna berdasarkan acuan fiqh.
Allah SWT telah menetapkan petunjuk dan garis panduan politik yang menyatukan umat bersama Islam melalui firman-Nya:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah serta kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)
Adapun teori yang mengajar agar jangan mempedulikan politik merupakan satu ajaran sesat hasutan syaitan sejak zaman penjajah, agenda yang diteruskan supaya umat Islam terus dikuasai dan dibuli oleh mereka, dengan hina dan lemah dalam keadaan berpecah.
Awasilah gejala ini daripada menjadi wabak yang merosakkan kefahaman umat kepada Islam yang mulia sehingga dihina dengan dijajah sekali lagi dan mendapat kemurkaan Allah SWT yang menerima padahnya di akhirat kelak.
Akhirnya, bacalah ayat di bawah dengan penuh khusyuk:
﴿قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١ مَلِكِ النَّاسِ٢ إِلَهِ النَّاسِ٣ مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan (yang memelihara) sekalian manusia. (1); Tuhan yang Menguasai sekalian manusia. (2); Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3); Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang timbul tenggelam (bersembunyi). (4); Yang membisikkan (kejahatannya) ke dalam hati manusia. (5); (Iaitu pembisik) daripada kalangan jin dan manusia.’ (6).” (Surah al-Nas: 1-6)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Zulqa‘dah 1442 / 8 Julai 2021