SETIU – ‘Outreach’ Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kasar, Setiu merekodkan pencapaian tertinggi bagi negeri Terengganu.
Outreach PICK yang dilaksanakan pada semalam mencatatkan 1,109 suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada penduduk di sekitar kawasan pedalaman itu.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata beliau amat berasa gembira dengan pencapaian program ‘outreach’ itu yang memperlihatkan kesungguhan orang kampung untuk bebas daripada Covid-19.
“Kami mendapat satu pasukan kerja yang sangat berkesan dengan bantuan semua pihak termasuk daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, Jabatan Amal Kawasan Setiu dan semua agensi kerajaan.
“Sekiranya kami menerima lagi bekalan vaksin, kami akan teruskan program seperti ini di kampung-kampung berjauhan dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Sungai Tarom.
“Setakat ini saya melihat pendekatan ‘outreach’ ini adalah satu kaedah terbaik sesuai dengan sosiobudaya masyarakat di daerah Setiu kerana kita mempunyai masalah logistik,” katanya lagi ketika ditemuramah di SK Seri Kasar petang tadi.
Seramai 2711 orang penduduk daerah Setiu telah menerima suntikan vaksin dos pertama melalui tiga program ‘outreach’ yang telah dijalankan di Setiu setakat semalam.