Oleh : Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri @trdi.my
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat akan golongan gelandangan di sekitar bandar raya dengan prinsip tiada yang tertinggal dari sudut kebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelbagai usaha telah dijalankan kerajaan negeri namun langkah jangka masa panjang perlu difikirkan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Saya membaca satu komen di hantaran Facebook oleh seorang wanita dan saya amat berterima kasih atas keprihatinannya terhadap golongan gelandangan di Terengganu ini.
“Sebelumnya, pihak kami bersama pelbagai agensi telah turun padang di Stesen Bas Kuala Terengganu pada tahun lepas untuk menyelami realiti kehidupan mereka.
“Setelah dikesan identiti dan maklumat diri mereka, rata-ratanya mempunyai rumah, keluarga dan latar belakang kehidupan yang baik sebelum ini. Ada juga dikalangan mereka merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Tambahnya, faktor seperti gangguan emosi di luar kawalan, disisih keluarga, penyalahgunaan dadah, kemurungan, tidak mempunyai punca pendapatan serta tidak ada hala tuju mendorong mereka untuk keluar dari rumah dan tinggal di stesen bas mahupun kaki lima.
“Sebagai mendokong prinsip kesaksamaan dan mengutamakan kebajikan buat semua rakyat tanpa mengira latar belakang, kerajaan negeri dengan kerjasama JKM telah menghantar golongan itu ke rumah masing-masing sebagai usaha untuk mengajak mereka kembali ke kehidupan seperti biasa.
“Namun, usaha itu terbantut kerana selang beberapa hari ada di kalangan mereka datang kembali ke bandar Kuala Terengganu.
“Sebilangan mereka tinggal untuk meneruskan kehidupan disana atas faktor bosan, tidak bebas untuk bergerak dan lebih selesa tinggal secara gelandangan,” jelasnya lagi.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, selain daripada kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dan persatuan dalam negeri perlu bekerjasama dalam membantu golongan tersebut secara konsisten serta bagi jangka masa panjang.