Home Berita PAS Terengganu

Kekurangan tidak halang gadis OKU jadi ‘Runner’

191
SHARE

Oleh : Mastura Jamal Din @ trdi.my

KUALA TERENGGANU – Berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan alasan Nur Safra Abd Halim, 30, untuk mencari rezeki sebagai gadis penghantar barangan.

Dia yang juga bekas atlet para olahraga Terengganu menggunakan laman sosial Di Facebook dan WhatsApp sebagai iklan perkhidmatan selain kaedah ‘mulut ke mulut’ yang dipromosikan oleh pelanggan yang berpuas hati dengan khidmatnya.

Antara barangan yang sering dipesan pelanggan ialah bahan mentah seperti ikan dan ayam serta keperluan dapur seperti susu, rempah masakan dan tepung.

“Syukur alhamdulillah, usaha penat lelah saya, walaupun agak terbatas pergerakan namun berjaya memperolehi hampir RM500 sebulan hasil bekerja sebagai penghantar barangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas.

“Dulu saya kerja sebagai jurujual kereta Proton tapi pendapatan terjejas teruk setelah PKP. Jadi, saya ambil keputusan bekerja sebagai penghantar barangan…walaupun RM500 itu tidak banyak, namun ia cukup untuk menampung belanja hidup saya seorang, yang penting saya tidak membebankan keluarga kerana mereka pun hadapi masalah kewangan akibat situasi getir ekonomi ketika ini.

“Kerana pernah merasai pengalaman kesusahan tidak mempunyai pendapatan sewaktu PKP, saya tidak menetapkan sebarang kadar caj bayaran kepada pelanggan.Ikut kemampuan mereka untuk bayar upah dan saya terima,” ujarnya yang kaki kanannya menjadi tempang sejak 2010 akibat kemalangan jalanraya.

Tambah Nur Safra, beliau cukup rasa bertuah kerana sejak berkecimpung dalam bidang itu, mempunyai pelanggan yang tidak ‘berkira’ dalam memberi upah dan sering membayar lebih daripada jumlah sepatutnya terutama pelanggan dari luar Terengganu yang membelikan barangan untuk ibu bapa mereka di kampung.

“Dalam pada itu, saya sentiasa menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) setiap kali menghantar barang pada saat wabak pandemik masih lagi tinggi.

“Saya pernah tersesat, pelanggan gagal dihubungi, terpaksa pergi ke beberapa lokasi berlainan untuk membeli barangan dikehendaki pelanggan, hujan lebat dan cuaca sangat panas ketika ini namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan kerjaya ini,”ujarnya lagi.

Pemenang pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing pada temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2018 itu berkata, tidak ramai yang menyedari kecacatannya kerana telah memasang ‘tumit’ untuk kasut kaki sebelah kanan supaya langkahnya lebih sempurna dan kecacatannya tidak kelihatan jelas.

“Saya tidak mahu orang merasa simpati dengan kekurangan yang ada dan lebih suka mereka gembira dengan perkhidmatan yang saya lakukan,” jelasnya.