PERANG PROKSI
– Pesan Nabi
“Demi diriku berada dalam kekuasaanNya, tidak musnah dunia sehingga muncul ke atas manusia senario pembunuh tidak tahu mengapa dia membunuh, dan mangsa bunuh tidak tahu mengapa dia dibunuh” Sahabat bertanya “Bagaimana boleh jadi begitu?” Nabi menjawab “AL-HARAJ. Pembunuh dan mangsa bunuh tempatnya di neraka” – Hadith riwayat Muslim.
-Perang Proksi
Realiti senario yang berlaku hari ini menampakkan fitnah al-Haraj yang diingatkan oleh Nabi SAW. Peperangan demi peperangan. Masing-masing berlumba-lumba menjadi proksi kepada kuasa besar untuk mengejar laba dunia.
Nabi SAW menggambarkan bahawa masing-masing berbunuhan tetapi tidak jelas apakah sebab mereka berperang. Yang mereka tahu, mereka mesti berperang setelah dibekalkan senjata. Mereka digerakkan oleh dorongan luar untuk berperang. Yang mengaut keuntungan dari peperangan bukanlah mereka. Mereka rela menjadi buah catur yang menguntungkan kepentingan Zionis.
Ketika saya mengemukakan kefahaman hadith ini kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau mengiyakan, katanya betapa mu’jizat Nabi tepat dengan realiti.
-Perang Saudara Yang Gila
Nabi ditanya “Apakah itu AL-HARAJ?” Nabi menjawab “Penipuan & pembunuhan” Para sahabat bertanya “Sedangkan kami banyak berperang hari ini?” Nabi menjawab “Sesungguhnya ia bukanlah bermaksud kami berperang dengan kuffar. Sebaliknya kamu berperang sesama sendiri. Sehingga seseorang boleh membunuh jirannya, membunuh saudaranya, membunuh pakciknya, membunuh sepupunya” Para sahabat berkata “Maha Suci Allah! Apakah kami masih mempunyai kewarasan akal?” Nabi menjawab “Tidak, melainkan orang pada zaman tersebut telah dicabut kewarasan akal mereka” – Hadith riwayat Imam Ahmad.
Sikap yang mencetuskan perang proksi sekaligus perang saudara berlaku adalah kerana tidak waras dalam berfikir. Nabi menggambarkan masing-masing sudah dicabut kewarasan. Menyebabkan mereka bertindak gila yang memperjudikan nasib umat Islam. Untuk berfikir dengan waras, Tuan Guru berpesan;
“Jangan hanya baca facebook. Baca, fahami al-Quran dan Hadith dengan realiti. Bandingkan segala berita dan maklumat”
– Celakalah Arab
“Celakalah Arab dari keburukan yang telah mendekati mereka” – Hadith riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim.
Itulah hadith yang diulang-ulang oleh Tuan Guru dengan nada kesal ketika berbincang tentang isu Asia Barat. Seakan-akan sangat berpadanan dengan kelaku penguasa-penguasa Arab yang suka bermain perang, menjadi hamba Amerika dan membiarkan Israel selesa.
Perang saudara yang berlaku akan mensedikitkan orang-orang Arab. Kita bimbang dengan politik dunia yang serba porak-peranda menjadi petanda hampirnya kiamat dan kemunculan Sang Bedebah yang amat dinanti-nantikan oleh penganut kebatilan.
Para sahabat pernah bertanya, ketika kecelakaan melanda dunia, bagaimanakah nasib orang-orang Arab? Nabi menjawab;
“Mereka ketika itu sedikit” – Hadith riwayat Imam Muslim
– Bahaya Kurdistan
Bangsa Kurdish yang sejak dahulu sengaja dibiarkan dan teraniaya, hari ini digunakan dendam mereka ke arah pembentukan negara baharu Kurdistan. Projek mendapatkan autonomi dari Turki, Syria, Iraq & Iran sedang lancar berjalan. Amat selari dengan apa yang telah dirangka oleh Lewis Bernard.
Kewujudan mereka di tengah-tengah peta konflik amat signifikan demi menjayakan projek pemetaan semula Asia Barat. Kurdistan bakal menjadi negara benteng bagi Israel sekaligus memberi ruang ke arah perluasan kuasa Israel.
Isu Qatar diboikot yang masih mempunyai peluang membuat pusingan U dengan jalan diplomasi tidaklah terlalu mencemaskan berbanding perkembangan pembentukan negara sekutu Israel, Kurdistan. Kita harus sedar.
– Jangan Lupakan Al-Aqsa.
Kita perlu belajar dari peristiwa. Bagaimana keghairahan umat Islam menyambut perancangan halus musuh, memangsakan tanah air umat Islam sendiri.
Samada mahu mengaku atau tidak, keghairahan tersebut menyebabkan kita melupakan survival al-Quds. Sedangkan musuh menjalankan segala projek demi penguasaan total ke atas Kunci Penguasaan Dunia tersebut.
Sepatutnya kita menilai untung rugi kita berdasarkan timbangan untung rugi al-Quds. Malangnya perang proksi yang berlaku di Asia Barat hari ini, tidak sedikitpun menguntungkan al-Quds. Yang pastinya Israel semakin selesa.
Abdul Mu’izz Muhammad
10 Jun 2017
{jathumbnail off}