WANGSA MAJU 25 Jun: YB Kak Nuri memperkenalkan program Gerobok Rezeki sebagai usaha masyarakat untuk membantu golongan kurang berkemampuan menerusi sumbangan barang keperluan asas.
Pegawai Khas PAS Wangsa Maju, Ahmad Zikri Yazid berkata, Gerobok Rezeki yang bermaksud ‘almari’ itu diletakkan bersebelahan pejabat PAS Kawasan Wangsa Maju.
“Individu boleh menderma barang keperluan asas seperti makanan, minuman dan sebagainya ke dalam almari sementara golongan yang kurang berkemampuan boleh mengambilnya secara percuma,” katanya
“Bukan hanya umat Islam, mereka yang bukan beragama Islam tetapi tergolong dalam kategori miskin dan fakir juga digalakkan mengambil sumbangan ini,” jelas beliau.
Menurutnya, ia dijadikan landasan bagi individu prihatin untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan serta ditimpa kesusahan.
“Bagi individu yang kurang berkemampuan, barangan tersebut boleh didapati dari gerobok rezeki secara percuma tanpa mengisi borang,” jelasnya.
Inisiatif itu katanya, adalah untuk membudayakan masyarakat membantu golongan asnaf.
Perletakan sumbangan Gerobok Rezeki itu disempurnakan Penyelaras Parlimen Wangsa Maju,YB Senator Puan Hajah Nuridah Mohd Salleh semalam.
PAS Wangsa Maju mengalu-alukan sumbangan orang ramai ke akaun CIMB Bank 8600101785 atas nama PAS Kawasan Wangsa Maju) atau dengan menghubungi Encik Jenalis di talian 0172638829 atau Pejabat PAS Wangsa Maju di talian 01138768585.