“Bingkisan Rida Di Bahu” | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Oleh : YBhg Ustaz Nik Bakri Nik Mat
Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor
1. Seluruh masyarakat dunia mengetahui khususnya umat Islam, bahawa semanusia dicipta oleh Tuhan Maha Pencipta, berasal daripada seorang lelaki dan seorang perempuan iaitu (Nabi) Adam & (Siti) Hawwa/Eve.
Daripada merekalah berkembang biaknya manusia sehingga terbinanya tamadun umat manusia hingga ke hari ini. Ianya cukup jelas disebut oleh Allah Ta’ala dalam Surah An-Nisa’: 1
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا.
Maksudnya:
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya, dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”.
(Surah An-Nisa’: 1)
2. Inilah realiti yang mesti diterima atas *nilai kewarasan* oleh semua masyarakat di dunia bahawa anggota masyarakat akan hidup dan menikmati hak masing-masing apabila mereka hidup sama ada sebagai lelaki atau pun sebagai seorang perempuan/wanita.
Dengan ini akan wujudnya kesinambungan generasi manusia dan keharmonian hidup manusia tetapi jika sebaliknya akan rosak dan hancurlah generasi serta keharmonian manusia apatah lagi, apabila munculnya golongan transgender, yang mencalar kewarasan aqal manusia, lalu menuntut sesuatu yang bukan hak mereka bahkan muncul pula pihak-pihak yang hilang kewarasan sehingga ingin memperjuangkan hak golongan transgender tersebut.
3. Dalam hal situasi di atas lebih malang lagi, tiba-tiba kita dikejutkan dengan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang berhasrat untuk membuat kajian mengiktiraf ‘third gender‘ di Malaysia iaitu menyatakan tawaran penyelidikan bertajuk “Feasibility of having legislation of the recognition of a third gender in Malaysia” .
Dikatakan bahawa kajian dan penyelidikan tersebut dianggap perlu dalam menggubal undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk minoriti seksual. Ini adalah merupakan satu usaha untuk menafikan hakikat kejadian manusia yang berasal dari dua insan yang menjadi bapa dan ibu kepada umat manusia iaitu (Nabi) Adam dan (Siti) Hawwa/Eve, juga seolah-olah ingin menafi diri manusia yang sekian lama hidup dengan asal kejadian dari seorang lelaki dan perempuan.
4. Rupa-rupanya pada 2019, Suhakam telah menjalankan penyelidikan berjudul “Study on discrimination against transgender persons based in Kuala Lumpur and Selangor (rights to education, employment, healthcare, housing and dignity)”.
Ringkasnya dengan penyelidikan itu disarankan kepada kerajaan Malaysia, agar mesti mewujudkan sistem perundangan untuk memberi perlindungan terhadap individu transgender. Maka dengan ini jelaslah bahawa tawaran penyelidikan tersebut kearah mengi’tiraf kepelbagaian gender atau golongan jantina ketiga seterusnya mengakui kewujudan kelompok LGBTQ serta memenuhi tuntutan agar hak mereka diberi dan mereka dihormati serta dilayan sama rata.
5. Jangan keliru dan berada di alam fantasi dalam menuntut hak. Setiap insan, lahir bersama hak asasi masing-masing. Seorang bayi yang lahir sudah memiliki hak. Seorang ibu serta bapanya wajib menunaikan haknya. Hak untuk hidup, hak untuk diberi makan dan minum serta pakaian dan tempat tinggal.
Apabila mereka membesar pada tahap umur tertentu mereka berhak diberi pendidikan. Hak agar diberi pendidikan, agar mereka pula memahami supaya jangan menuntut dan meminta apatah lagi berjuang untuk mendapatkan hak yang bukan hak mereka.
6. Fahamilah bahawa setiap insan yang lahir sebagai seorang lelaki maka mereka memiliki hak lelaki, dihormati sebagai lelaki, dilayan sebagai lelaki, mereka berhak bergelar suami, mereka berhak bergelar bapa atau datuk di saat mereka mendapat cucu bahkan mereka berhak menjadi imam solat, mereka ada hak menjadi ketua dalam sebuah keluarga dan masyarakat.
Begitulah juga sebaliknya seseorang yang di lahirkan sebagai seorang perempuan maka menjadi hak mereka bahkan mereka berhak dihormati, dimuliakan dan disayangi sebagai seorang perempuan, berhak dilayan sebagai seorang perempuan, mereka berhak bergelar isteri, bergelar ibu atau nenek.
7. Diluar batas aqal yang waras, diluar sempadan tamadun manusia, diluar kamus kemajuan bahkan menghina dan merendahkan Tuhan Yang Maha Pencipta serta menipu masyarakat secara terang-terangan apabila seorang yang lahir lelaki dan disahkan sebagai lelaki akan tetapi ingin menjadi perempuan lalu menuntut hak seorang perempuan, menuntut agar dilayan sebagai seorang perempuan dan menuntut agar dihormati sebagai seorang perempuan. Cara mudah mereka yang lelaki mahu menjadi perempuan adalah dengan melakukan operasi transgander (operasi tukar kelamin). Setelah itu berkelakuan, berpakaian seperti perempuan. Semudah itu bagi mereka.
8. Sewajarnya masyarakat yang berilmu dan bertamadun melihat bahawa individu seumpama itu telah tertipu dengan kecenderungan emosi atau lebih tepat mereka telah dihinggap dengan penyakit desforia gender ini kerana transgender biasanya dilakukan sebagai salah satu tindakan bagi orang yang disforia gender.
Disforia gender adalah (gangguan identiti gender) situasi ketika seseorang tidak merasa puas dengan jenis kelamin pada saat dia lahir bahkan berbeza dengan identiti gendernya.
9. Seharus dan sewajarnya apa yang perlu dibuat oleh SUHAKAM adalah membuat penyelidikan terhadap mereka yang mengidap gangguan identiti gender atau disforia gender dari sudut kesan kepada diri mereka sendiri di saat melalukan operasi transgender ini kerana menurut jurnal Nature Reviews Urology mesti melalui prosuder serta terapi demi terapi yang banyak seperti terapi psikologi, terapi hormon estrogen dan anti-androgen (transpuan/male to female) dan hormon testosteron dan androgen (translaki/female to male) dan sebagainya sehingga mendatangkan efek yang tidak kurang membahayakan dan mengganggu kehidupan serta emosi. Juga bagaimana pula kesan kepada keluarga, masyarakat lebih-lebih lagi kesan yang paling bahaya kepada orang yang beragama Islam kerana perbuatan tersebut dilaknat oleh Allah dan RasulNya.
10. Dengan ini sudah tiba waktunya pihak kerajaan dibawah PN mengkaji kembali peranan Suhakam sebagai sebuah institusi yang memperjuangkan hak asasi dan keadilan agar mereka memperjuangkan hak asasi serta keadilan kepada yang benar-benar berhak.
Juga disaranankan agar kerajaan menilai dan melantik pengerusi Suhakam yang baharu yang lebih memahami budaya dan adat resam masyarakat Malaysia yang hidup dengan penuh adab kesopanan dan adat ketimuran yang berteraskan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan.
11. Saya menyeru kepada segenap lapisan masyarakat agar marilah kita memperjuangkan kelangsungan keharmonian hidup dengan nilai kewarasan aqal yang bertepatan dengan nilai kemanusian.
Adapun yang sememangkan bagi kaum Muslimin sudah sewajibnya nilai *keimanan* itulah sebagai neraca dalam semua lapangan kehidupan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor