Home Berita PAS Terengganu

COVID-19 : Jangan alpa dengan penurunan kes positif

64
SHARE

oleh : Mastura Jamal Din

KUALA TERENGGANU – Masyarakat di Terengganu sekali lagi diingatkan supaya tidak alpa dengan penurunan kes positif COVID-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata pandemik itu masih belum berakhir, malah boleh kembali melarat jika tidak dipandang serius.

“Jangan leka dan alpa walaupun negeri ini melaporkan hanya dua digit kes harian COVID 19 sejak seminggu yang lalu.

“Kita tak mahu situasi ‘yoyo’ atau turun naik berterusan tanpa kesudahan yang boleh menyebabkan rakyat letih, petugas kesihatan letih dan ekonomi pun letih.

“Sampai masa kita semua mesti bersungguh sungguh terus kekalkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sebab kita belum menang lagi,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.

Menurut Nor Azimi, semua rakyat Terengganu perlu mengekalkan kepatuhan SOP bagi membolehkan penurunan kes atau keluk Epid landai dicapai.

Namun begitu katanya, masih terdapat jangkitan besar dalam keluarga dan akhir nya merebak ke tempat kerja seperti kes Alor Limbat (17 orang), kes Atas Tol (23 orang), kes KN (20 orang) dan kes Wakaf Mempelam seramai 23 orang.

“Kita pun masih melaporkan ramai kes import B (rentas negeri) dan akhirnya menular ke keluarga.

“Ia seolah-olah sukar nak putus rantaian jangkitan COVID 19 ni.Sekiranya masih ada yang tidak cakna dan tak kisah maka tentulah lagi sukar,” ujar beliau.