WANGSA MAJU, 18 Jun – Seorang pesakit strok terharu apabila menerima sumbangan kerusi roda daripada Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh semalam di kediamannya di Kampung Chubadak Tambahan.
Puan Nurizyan, 52, gembira menerima kerusi roda kerana dengan adanya kerusi roda itu dia dapat melakukan pergerakan di dalam rumah selain keluar mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Syukur, akhirnya tercapai impian untuk bergerak walaupun dengan menggunakan kerusi roda,” katanya ketika menerima sumbangan tersebut.
Menurut YB Senator, sumbangan berkenaan ialah antara tanggungjawab sosial oleh PAS Wangsa Maju kepada penerima untuk menyantuni golongan memerlukan dan membantu mereka yang susah.
“Program ini diperluaskan ke seluruh Wangsa Maju termasuk kampung-kampung warisan di sini untuk meringankan beban golongan sasar yang telah kita kenal pasti.
“Pada masa yang sama, program ini dapat menjadi ruang untuk saya merapatkan silaturahim dengan masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Khas Pusat Khidmat Komuniti PAS Wangsa Maju, Zikri Yazid dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Zurina Din.