Tasek Gelugor, 14 Jun 2021 – Isu alam sekitar merupakan isu yang sangat diberi perhatian oleh rakyat Pulau Pinang sejak sekian lamanya. Rakyat Pulau Pinang sehingga kini berjumlah kira-kira 1.8 juta orang menikmati kehidupan yang rukun dan damai, hidup di dalam masyarakat yang berbilang bangsa, anutan agama dan taraf hidup sama ada di kawasan bandar atau perkampungan.
Walaupun negeri Pulau Pinang sedang menempa nama di dalam arus pemodenan, alam semula jadi di negeri ini sentiasa dipelihara oleh rakyat yang berjiwa merdeka agar generasi akan datang berupaya untuk menikmati kebaikan dan kesegaran udara hasil dari keaslian di muka bumi ini.
Sebelum ini, nama negeri Pulau Pinang agak terkenal dengan kejadian banjir yang sering melanda di negeri ini. Ketika musim tengkujuh atau air pasang laut, beberapa kawasan yang sering dilanda banjir termasuk Batu Maung, Bayan Baru, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor dan Kepala Batas. Musim banjir pada tahun 2017 merupakan suatu kejadian yang amat buruk di negeri ini dan sedikit sebanyak ianya menampakkan kegagalan kerajaan negeri pada ketika itu di dalam menguruskan bencana yang melanda negeri.
Kerajaan Negeri pada masa sekarang amat bersungguh-sungguh untuk menjayakan pembinaan tiga (3) buah pulau buatan manusia yang bakal menempatkan kawasan perindustrian, rekreasi dan perumahan. Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar juga telah diterima oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana ianya merumuskan bahawa Projek ‘Penang South Reclamation’ (PSR) perlu mematuhi beberapa syarat yang amat ketat kerana sebarang kelalaian mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan mendatangkan bahaya kepada alam sekitar dan penduduk di negeri Pulau Pinang.
Rakyat Pulau Pinang sudah semakin kurang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan negeri di dalam menangani sebarang bencana atau kejadian yang tidak diingini. Memandangkan kerajaan negeri pada ketika ini langsung tidak mengambil endah terhadap kesan yang akan ditanggung oleh rakyat negeri Pulau Pinang, jadi, APAKAH PILIHAN KITA seterusnya?
Rizal Hafiz Ruslan
Mantan Calon PRU14 Tasek Gelugor