KENYATAAN MEDIA
PEMUDA PERIKATAN NASIONAL NEGERI KEDAH
10 Jun 2021 | Khamis
Tahniah Kerajaan Negeri Kedah No.1 Penerima Pelaburan Tertinggi di Malaysia
Pemuda Perikatan Nasional Negeri Kedah menyambut baik laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menunjukkan jumlah pelaburan berjumlah RM 80 billion yang diluluskan bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama yang lain bagi suku tahun pertama tahun 2021.
Daripada jumlah tersebut, 68.1 % disumbangkan melalui pelaburan asing secara langsung (Foreign Direct Investment – FDI) dan selebihnya daripada pelaburan langsung domestik (Domestic Direct Investment – DDI).
Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 42.4 billion pelaburan diterima oleh Kerajaan Negeri Kedah dibawah kepimpinan YAB Tn Hj Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Jumlah pelaburan yang begitu besar bagi suku pertama ini juga dilihat hasil daripada kepercayaan pelabur terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar Kedah.
Atas keyakinan ini, Kedah terus mengorak langkah berada dihadapan diikuti dengan Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion) bagi tempoh yang sama. Sejumlah dana yang besar ini dilihat mampu untuk menaikkan ekonomi Kedah secara keseluruhannya dan mampu menyediakan peluang pekerjaaan baharu buat rakyat Negeri Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Ketersediaan pelabur antarabangsa dan domestik dalam memilih Kedah untuk dijadikan tempat pelaburan mereka dilihat akan terus berkembang dalam tempoh akan datang. Projek Kulim International Airport (KXP) dan pewartaan Yan sebagai pelabuhan persekutuan juga dilihat mampu untuk memberi pertumbuhan ekonomi yang positif untuk Negeri Kedah.
Berdasarkan unjuran Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang mengetuai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) mendapati bahawa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah akan meningkat 30 peratus iaitu dianggarkan berjumlah RM62 bilion menjelang 2027.
Pertumbuhan ekonomi ini juga dilihat mampu untuk memberikan manfaat kepada rakyat negeri Kedah khususnya dalam kalangan golongan miskin sesuai dengan hasrat YAB Menteri Besar Kedah iaitu “Kedah sebagai tempat orang miskin berteduh dan negeri orang kaya berbakti”.
Tahniah YAB Menteri Besar, Exco dan barisan Pegawai-pegawai kerajaan Negeri Kedah.
Pemuda Perikatan Nasional Negeri Kedah sentiasa menyokong kepimpinan YAB Tn Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor untuk kesejahteraan rakyat Negeri Kedah tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat umur.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
Ustaz Nurul Amin Hamid
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri Kedah