Oleh : Qatadah
KUALA NERUS, 9 Jun 2021 – Lebih 25 tan beras atau 5000 kampit beras 5kg akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan di Parlimen Kuala Nerus bagi rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP 3.0.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan.
Katanya, agihan itu akan dilaksanakan setiap masa dengan beberapa barangan keperluan makanan yang lain seperti minyak masak, tepung gandum, bihun, dan sardin.
“Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik yang hidup dalam kesusahan dengan memberi sedikit bantuan keperluan asas yang dibuat menerusi JPKK masing-masing”. katanya ketika dihubungi wartawan UPDI.
Dr. Khairuddin turut menyokong cadangan dan keputusan kerajaan bagi program vaksinasi yang mana bakal dinaikkan jumlah suntikan harian daripada 80,000 dos sehari kepada 150,000 dos sehari.
“Ia merupakan usaha mulia kerajaan dan juga para kepimpinan yang tanpa ada rasa jemu memberikan yang terbaik kepada rakyat.
“Saya juga memohon dan merayu agar kita semua dapat bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini dengan duduk di rumah sepanjang tempoh 14 hari PKP 3.0.
“Ianya teramatlah penting agar usaha untuk merendahkan jumlah kadar kes positif harian dapat dilaksanakan selain membolehkan kita untuk bangkit kembali dalam membaiki ekonomi negara.” katanya.