KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis depan mulai jam 10.00 pagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui beberapa kaedah.
Katanya, ia merangkumi semakan secara dalam talian talian di pautan http://myresult1.moe.gov.my/ atau http://myresult2.moe.gov.my/ untuk mendapatkan keputusan penuh.
“Calon juga boleh buat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM[jarak]NoKP[jarak]AngkaGiliran dan hantar ke 68886.
“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada Khamis depan sehingga jam 6 petang, 17 Jun ini.
“Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” ujarnya.
Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, KPM berkata, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti individu berkenaan dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
Terdahulu, seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020, mulai 22 Februari lalu, melakar sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu diadakan dalam keadaan norma baharu, berikutan penularan jangkitan COVID-19 di samping mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang, iaitu hampir 14 bulan