Home Berita PAS Perlis

Fahami keputusan laksanakan ‘Lockdown’

156
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 30 Mei: Keputusan kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ membuktikan kerajaan amat serius dalam menangani penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan.

Jelas Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli, meskipun disifatkan sebagai agak terlewat oleh sesetengah pihak, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira pelbagai faktor serta pandangan pelbagai pihak demi kebaikan semua.

“Rakyat perlu faham, untuk membuat sesuatu keputusan yang besar seperti ini bukanlah perkara yang mudah kerana ia sudah pasti akan memberikan kesan kepada semua pihak.

“Misalnya, pengumuman berkenaan pelaksanaan ‘total lockdown’ semalam sudah pasti dinanti-nantikan oleh rakyat, namun ia bukanlah khabar gembira buat golongan seperti para peniaga, khususnya peniaga kecil, serta para pekerja yang bergaji hari.

“Selain itu, di pihak industri dan non-essential services sector pula, kesan kerugian yang perlu ditanggung akibat lockdown mungkin menyebabkan mereka terpaksa mengecilkan saiz operasi atau berisiko gulung tikar, yang akan menyebabkan lebih ramai pekerja kehilangan pekerjaan.

“Namun apakan daya, melihat kepada faktor peningkatan kadar kes jangkitan serta kematian, akhirnya total lockdown terpaksa dipilih demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut menyeru semua pihak agar dapat sama-sama dengan pihak kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi segala peraturan serta SOP yang sedang berkuatkuasa.

“Yang belum ambil vaksin, ambillah sebagai suatu bentuk ikhtiar yang dibenarkan oleh agama, di samping menunaikan tanggungjawab kita kepada diri, masyarakat dan negara.

“Jangan ada lagi mana-mana pihak yang pentingkan diri dengan ingkar terhadap arahan PKP, yang akhirnya bukan sahaja menyebabkan dirinya dijangkiti, bahkan mengakibatkan orang lain turut menjadi mangsa.

“Ayuh sama-sama kita insafi apa yang terjadi, sekarang bukan lagi masa untuk kita berpolemik menyalahkan pihak yang lain, sekarang adalah masa untuk kita bergabung tenaga bersama-sama dengan para petugas barisan hadapan yang tidak pernah kenal erti lelah dalam menyelamatkan negara kita,” katanya.