KUALA TERENGGANU, 27 Mei – University College TATI (UC TATI) bakal mempunyai cawangannya yang pertama dengan pelbagai kemudahan ditawarkan bagi pelajar yang sukakan kehidupan dan pembelajaran di bandar.
Rektornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, walau bagaimanapun, kemasukan pelajar di kampus tersebut hanya dibuka bagi pengambilan kursus tertentu termasuk bisnes, komunikasi, media dan journalism, iaitu selain bidang sedia ada di kampus Teluk Kalong.
“Kita akan buka City Campus di tengah-tengah bandar Terengganu bagi meluaskan rangkaian pendidikan melalui kerajaan negeri. Kursus-kursus di City Campus ini banyak berbentuk bisnes, communication dan media, journalism dan sebagainya.
“Buat masa sekarang kita hanya menunggu kelulusan pendaftaran cawangan baharu daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). Pembentangan sudah dibuat dan alhamdulillah ia positif. Cuma tunggu dokumen hitam putih dan dalam sedikit masa lagi akan diadakan pelancaran setelah semua selesai,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Lokasinya yang berada di tengah-tengah bandar, bersebelahan PB Square, menjadikannya kampus yang strategik untuk ilham dan suasana pembelajaran pelajar.
“Kita jangkakan seawal Julai ini proses-proses berkenaan akan selesai dengan pelbagai persediaan telah dibuat. Sebanyak 10 tingkat daripada bangunan PMINT (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) akan disewa oleh UC TATI bagi kemudahan kelas pelajar.
“Kursus-kursus yang disediakan pula adalah bersesuaian dengan suasana bandar. Lebih menarik, lokasi kampus ini berdekatan dengan Pasar Payang yang memudahkan pelajar untuk ke mana-mana,” jelasnya.