Home Minda Presiden

Kewajipan menyelamatkan Palestin

314
SHARE


Minda Presiden PAS

KEWAJIPAN MENYELAMATKAN PALESTIN


Seruan Allah SWT kepada orang-orang yang beriman sepanjang zaman melalui firman-Nya:

﴿وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا٧٥ الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا٧٦﴾

“Dan apakah yang menghalang kalian untuk tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk membela) orang-orang yang lemah baik daripada kalangan lelaki, mahupun kalangan perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, di mana penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang berlaku zalim, dan jadikanlah bagi kami pelindung di sisi-Mu, dan jadikanlah bagi kami penolong di sisi-Mu (yang membela kami dari ancaman musuh).’ (75); Orang-orang yang beriman itu, mereka berperang pada jalan Allah; dan sebaliknya orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kalian akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76).” (Surah al-Nisa’: 75-76)

Walaupun sebab nuzul (penurunan) ayat ini berkait dengan peristiwa yang berlaku pada awal Islam disampaikan ketika zaman Rasulullah SAW berada di Makkah, tetapi para ulama’ menegaskan bahawa petunjuk daripada ayat tersebut menunjukkan hukum yang mewajibkan jihad. Ini berdasarkan kepada sebab yang sama dan hukum wajib itu tetap berterusan apabila wujudnya ancaman daripada musuh di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja.

Situasi semasa yang sedang berlaku pada hari ini ialah keganasan yang dilakukan oleh negara haram Israel terhadap rakyat Palestin khususnya penduduk di Baitul Maqdis dan Gaza, sehingga terkini telah merebak ke seluruh Palestin.

Ketegangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan pihak tentera, bahkan juga pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas rumah kediaman rakyat Palestin, termasuklah kedai-kedai dan kebun. Namun begitu, rakyat Palestin sekali-kali tidak menyerah kalah, malah mereka bangkit melawan pencerobohan itu tanpa bersenjata.

Walaupun adanya kumpulan yang bangkit berjihad dengan senjata, akan tetapi mereka memerlukan bantuan daripada seluruh umat Islam, bukan sahaja negara Arab yang paling berdekatan, bahkan umat Islam seluruh dunia. Sedangkan Israel mendapat sokongan pakatan negara-negara besar Barat, semenjak negara haram itu ditubuhkan lagi sehingga ke hari ini.

Kini, seluruh penduduk Palestin dalam keadaan tertekan dengan kezaliman Zionis Yahudi yang paling kejam. Sudah ramai yang telah gugur syahid, begitu juga yang mendapat kecederaan sehingga memerlukan rawatan lanjut. Bahkan, ramai juga dalam kalangan rakyat Palestin yang ditahan di dalam penjara tanpa membezakan antara lelaki dengan wanita, mahupun golongan tua dan muda termasuklah kanak-kanak. Ramai dalam kalangan mereka itu terdiri daripada kalangan anak-anak yatim.

Walau bagaimanapun, penduduk asal Palestin telah menunaikan kewajipan jihad yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Mereka berada di barisan hadapan, walaupun menjadi golongan yang paling terdedah kepada serangan musuh yang dilancarkan secara bertubi-tubi. Israel menggunakan segala senjata termasuklah mendapatkan sokongan politik, ekonomi, media dan lain-lain dari negara Barat khususnya kuasa Amerika dan Eropah.

Walaupun rakyat Palestin gagal dilemahkan oleh negara Arab dan Islam yang telah mengecewakan mereka apabila melaksanakan normalisasi dengan Israel mengikut pengaruh negara Barat, namun semangat mereka tidak luntur dengan terus berjuang. Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada’ yang bertali arus tidak henti-henti. Mereka itulah golongan yang sedang menunggu giliran untuk syahid laksana alunan ombak lautan yang tidak pernah terhenti. Keadaan tersebut membuktikan benarnya firman Allah SWT:

﴿وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا٢٢ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ  فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ  وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا٢٣﴾

“Dan tatkala orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkatalah mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri (ketundukan kepada Allah). (22); Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar dengan menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang sedang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) walaupun sedikit. (23).” (Surah al-Ahzab: 22-23)

Ayat di atas merupakan seruan Allah SWT kepada umat Islam yang wajib bangkit untuk berjihad menghadapi musuh yang menceroboh tanah air dan saudara seagama mereka, di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.

Allah SWT mewajibkan umat Islam agar turut serta berjihad mengikut kemampuan masing-masing. Terdapat negara yang boleh menghantar bekalan senjata dan pasukan pakarnya, pada masa yang sama terdapat juga mereka yang menyumbang dari sudut kewangan dan tenaga pasukan perubatan serta kebajikan.

Adapun negara Arab dan Islam yang mengecewakan itu berbelanja besar untuk perang saudara, bagi membantu musuh secara langsung menghadapi mana-mana negara yang menyokong Palestin. Mereka dibantu oleh negara besar yang mendukungnya di atas nama harta, takhta, mazhab dan kaum.

Para ulama’ menegaskan bahawa hukum jihad yang bersifat fardu kifayah pada asalnya, berubah menjadi fardu ‘ain ke atas setiap individu dalam kalangan orang yang beriman, apabila musuh sudah menceroboh ke dalam tanah air umat Islam.

Baitul Maqdis dan Palestin ialah tanah suci bagi umat Islam, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT apabila tempat itu menjadi lokasi berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi‘raj. Hal tersebut dijelaskan melalui firman-Nya:

﴿سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا  إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ١﴾

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’: 1)

Maka, kewajipan untuk mempertahankan Palestin dan membebaskannya adalah lebih besar kewajipannya bagi seluruh umat Islam. Allah SWT meluaskan pemahaman terhadap lapangan jihad dengan penurunan beberapa ayat-ayat al-Quran. Antaranya firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ١٠ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ١١ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ١٢ وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ١٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kalian Aku tunjukkan kepada kalian sesuatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kalian daripada azab yang pedih? (10); (Iaitu) kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kalian. Itulah yang lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui. (11); Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kalian) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. (12); Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kalian sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13).” (Surah al-Saff: 10-13)

Ayat di atas menunjukkan jihad dengan harta dan diri akan diberikan ganjaran pahala yang besar.

Firman Allah SWT:

﴿انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ٤١﴾

“Berangkat pergilah kalian secara beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan merasa ringan (dan mudah bergerak) mahupun dalam keadaan merasa berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian pada jalan Allah (untuk membela Islam). Demikian itu, amatlah baik bagi kalian, jika kalian mengetahui.” (Surah al-Taubah: 41)

Seruan Allah SWT dalam ayat ini bermaksud seruan kepada semua lapisan umat supaya bangkit berjihad dengan harta dan jiwa raga, sama ada golongan muda dan tua, senang dan susah mengikut kemampuan masing-masing termasuklah dengan berdoa kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا  إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ١٩٥﴾

“Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kalian) pada jalan Allah, dan janganlah kalian sengaja mencampakkan diri kalian ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan berbuatlah baik; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 195)

Berdasarkan ayat di atas, mereka yang tidak berjihad pada hakikatnya hanyalah membinasakan diri sendiri apabila diperhambakan oleh musuh. Namun fahaman golongan yang memetik sebahagian daripada ayat al-Quran mengatakan bahawa jihad itu membinasakan diri sendiri, lalu mereka menyelamatkan diri dengan tidak berjihad pada jalan Allah.

Allah SWT menjanjikan pahala berlipat kali ganda kepada mereka yang memberikan sumbangan jihad sehingga mengatasi pahala sedekah dan sumbangan kebajikan yang lain. Hal tersebut dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ٢٦١﴾

“Perumpamaan (infaq) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah: 261)

‘Jihad fi sabilillah’ yang paling besar ialah jihad mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya. Maka, jihad mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis dan Palestin adalah lebih mulia daripada jihad mempertahankan tanah air.

Allah SWT menjanjikan bahawa agama Islam akan tetap dipelihara dan mereka yang berusaha menegakkannya diberikan kemuliaan di dunia dan di akhirat. Sebaliknya mereka yang mengecewakannya dihina di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“(Ingatlah), kalian ini adalah orang-orang yang diajak supaya menderma dan membelanjakan sedikit daripada harta benda kalian pada jalan Allah, maka ada antara kalian yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun), sedang kalian semua ialah orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kalian berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma), nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian.” (Surah Muhammad: 38)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Syawwal 1442 / 15 Mei 2021