Home Berita PAS Pusat

28 Ramadan : Pembukaan Kota Andalusia oleh Islam

954
SHARE

28 RAMADAN : PEMBUKAAN KOTA ANDALUSIA OLEH ISLAM

Gerakan penaklukan Andalusia dimulakan pada Ramadhan 91H. Satu pasukan kecil inteligen seramai 500 tentera diketuai oleh Tharif bin Malik telah mendarat di Andalusia dan menguasai sebuah pulau yang dinamakan sebagai Pulau Tharif.

Beliau kemudiannya membuat laporan kepada Musa bin Nushair iaitu Panglima Daulah Umayyah tentang keadaan Andalusia, sebelum satu persiapan seramai 7,000 tentera selama setahun dibuat untuk menyerang Andalusia.

Pasukan yang dipimpin oleh Thariq bin Ziyad ini bergerak ke Andalusia pada bulan Syaaban 92H menggunakan perahu-perahu dan mendarat di kawasan gunung bertempat di sebarang Andalusia yang kemudiannya dinamakan sebagai Jabal Tariq (Gibraltar).

Setelah menyeberang ke Andalusia, mereka berhadapan dengan pasukan Kristian di Jaziah al-Khadra’ bawah pimpinan Tedmore. Tedmore kemudiannya meminta bantuan kepada Roderic di Toledo, ibu kota Andalusia ketika itu.

Roderic mengirimkan tentera yang diketuai oleh Vinceu untuk membantu Tedmore, tetapi dalam setiap pertempuran, kedua-dua pasukan Kristian sering tewas.

Roderic kemudiannya mengetuai 100,000 tentera berkuda untuk menghadapi 12,000 tentera Islam. Kedua-dua pasukan bergerak ke Lakka (Lacca) dan bertembung di Lembah Barbate (Rio Barbate).

Pertempuran tercetus pada 28 Ramadhan 92H yang berlangsung seminggu hingga 5 Syawal 9H. Akhirnya Rodheric berjaya dibunuh, pasukan Kristian ditewaskan serta 3,000 tentera Islam telah syahid. Sejak itu, Andalusia telah berjaya dibuka oleh Islam.

Dengan kemenangan ini, tentera Islam dapat memasuki kota Toledo, Castille, Leon dan berhenti di Bascunia di tepi Lautan Atlantik. Pada akhir pembukaan ini, hampir seluruh kawasan Portugal dan Sepanyol hari ini dikuasai oleh Islam dalam masa dua tahun.

Kemudian Islam memajukan tamadun ilmu di Andalusia, terutama di Cardova sehingga mengubah keseluruhan Eropah untuk melepaskan diri daripada Zaman Gelap, mencapai kemajuan sains dan teknologi serta bertukar menjadi sebuah benua yang moden pada hari ini.

Sumber : Ustaz Mohd Fadli Ghani