Oleh: KHAIRUL IZWAN
KERATONG, 30 Apr: Tragedi lemas dua beradik akibat jatuh dari jambatan gantung uzur berakhir dengan penemuan jasad adik sekitar jam 7.00 pagi tadi disini.
Penemuan ini mengakhiri operasi pencarian selama dua hari sejak Rabu lepas.
Jasad kakak telah di temui sekitar jam 8.00 malam semalam ketika operasi pencarian pada sebelah malam.
Operasi pencarian telah bermula pada hari Rabu itu melibatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat, pihak Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dibantu penduduk setempat.
Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad turut hadir bertemu keluarga mangsa dan menenangkan mereka. Beliau turut melaungkan azan di tebing sungai semasa operasi sebagai ikhtiar memohon bantuan Allah s.w.t.
Tragedi berlaku ketika ibu mereka Liswati, bersama Puteri Ramadhania Azzahra, 3 tahun, dalam perjalanan pulang selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri, 7 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Keratong 1.
Sewaktu melintasi jambatan, motor yang ditunggang telah hilang kawalan dan terjatuh diatas jambatan. Kedua-dua mangsa kecil terjerumus ke sungai melalui lubang besar di jaring kiri dan kanan jambatan. Ibu mereka terselamat dalam kejadian itu apabila dia tersangkut di jaring.
Jambatan gantung tersebut yang kurang penyelenggaraan sering digunakan penduduk setempat sebagai laluan pintas memandangkan jalan raya agak jauh.
Foto: Syed Razman