Home Minda Presiden

Tawaran kerajaan selamatkan rakyat: Integriti bersama Ramadhan

208
SHARE

Minda Presiden PAS

TAWARAN KERAJAAN SELAMATKAN RAKYAT: INTEGRITI BERSAMA RAMADHAN


Integriti yang sebenar tidak diciptakan dengan lagak dan lakonan semata-mata untuk menjadi bahan siaran media yang hina tanpa hidayah Allah SWT yang mengurniakan iman dan akhlak mulia. Bukan juga kerana kempen murahan sementara waktu di musim pilihan raya (pilihan raya umum atau pilihan raya kecil) atau bagi mengisi perut yang hina dan kotor.

Integriti yang mahal nilainya, dihasilkan daripada cahaya hidayah Allah SWT, ilmu dan tarbiah yang bermaksud pengetahuan yang beriman dan bertaqwa. Lahir daripada hati sanubari yang mengarahkan akal membuat pilihan, dibantu oleh hidayah Allah SWT kepada anggota jasadnya bagi mengerjakan amal soleh dalam segala aspek hubungan manusia dengan Allah SWT, dirinya, keluarga dan masyarakat, serta peranannya dalam menguruskan makhluk yang lain.

Hati sanubari itu bermaksud:

  1. Jantung hati.
  2. Perasaan dalam hatiatau batinnya. Sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ٧﴾

“(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mengunci mati hati serta pendengaran mereka, termasuklah penglihatan mereka juga ditutup (daripada mengambil pengajaran); dan bagi mereka azab seksa yang amat berat (kerana menolak hidayah).” (Surah al-Baqarah: 7)

Firman Allah SWT:

﴿وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ٢٠٤ ﴾

“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras permusuhannya (kepadamu).” (Surah al-Baqarah: 204)

Ayat di atas ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌أَلَا ‌وَإِنَّ ‌فِي ‌الجَسَدِ ‌مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ القَلْبُ.

“Ingatlah, bahawa dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging, sekiranya ia baik maka baiklah jasadnya, sekiranya ia buruk maka buruklah jasadnya, iaitu jantung hati.” (Riwayat al-Bukhari 52 dan Muslim 1599)

Justeru itu, berpandukan hadis di atas perlu difahami bahawa maksud jantung hati bukan sahaja jantung yang dikenali sebagai organ penting dalam jasad yang menggerakkan anggotanya pada zahir sahaja. Bahkan paling penting adalah perasaan yang mencipta akal, kemudiannya menentukan pilihan yang tepat kepada perkara yang baik dan menolak perkara yang buruk.

Perkara tersebut tidak dibincangkan oleh kalangan mereka yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah SWT, kerana ia termasuk dalam perkara yang ghaib dan Hari Akhirat yang tidak dipandang lagi oleh mereka. Hal tersebut kerana mereka hanya percaya kepada kehidupan dunia yang zahir sahaja tanpa akhirat. Mereka juga hanya melihat dari aspek jasad tanpa memandang kepada aspek roh.

Islam menetapkan makanan kepada semua aspek tersebut (jasad dan roh) ialah dengan melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain di bulan Ramadhan yang terpilih ini. Sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kalian diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kalian, supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Firman Allah SWT:

﴿شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ…١٨٥﴾

 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi penjelasan yang menjelaskan petunjuk itu dan pembeza (perbezaan antara perkara yang benar dengan perkara yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Ayat 183 daripada Surah al-Baqarah menegaskan syarat beriman (hati yang percaya dengan yakin dan ikhlas), diikuti dengan beramal soleh yang dinamakan berpuasa dan ibadat-ibadat lain secara ikhlas yang diwajibkan kepada mereka yang beriman, supaya akhirnya akan melahirkan sifat taqwa. Tanpa iman, amalan seseorang itu tidak sah di sisi Allah SWT.

Allah SWT menjanjikan kepada kalangan mereka yang ditarbiah itu suatu kemenangan secara khusus, iaitu mentadbir negara dengan agama-Nya (Islam) yang berdaulat dan (berkuasa) memerintah negara. Perkara ini dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ٥٥﴾ 

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka yang berkuasa; dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama Islam yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan mengubah keadaan mereka dalam ketakutan (dengan ancaman musuh) kepada keamanan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Surah al-Nur: 55)

Golongan yang melalui tarbiah itu dijanjikan berkuasa menegakkan negara dan menjadikan Islam itu tamkin (berkuasa) sehingga mewujudkan keamanan yang lahir daripada konsep adil kepada semua yang disertakan dengan kehebatan undang-undang. Bukan kerana takutkan kezaliman atau hukumannya yang keras, atau tertipu dengan sogokan dan godaannya.

Seterusnya daripada kalangan mereka pula muncul para pemimpin yang berintegriti, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam kalangan umat terdahulu yang bersama para rasul dengan hidayah Allah SWT. Firman-Nya:

﴿وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ٢٤﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka para pemimpin yang membimbing kaum masing-masing dengan perintah (hukum) Kami, selama mana mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu), serta mereka itu tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah: 24)

Para pemimpin yang berjaya dalam tarbiah bukan sahaja berpelajaran dan mendapat sokongan rakyat, mereka juga mungkin digoda dengan penipuan, dirasuah atau dirasuk syaitan tanpa integriti yang tulen.

Tarbiah itu berlaku dengan perjuangan yang akan meningkatkan keimanan, sekali gus menciptakan amalan yang ikhlas kepada Allah SWT. Sehingga menjadikan petunjuk-Nya dan segala perintah-Nya dipatuhi dengan beriman dan ikhlas bagi memimpin negara dan rakyat yang berwawasan akhirat. Suatu sifat yang mustahil ada pada mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat.

Pada bulan Ramadhan secara khusus, orang yang beriman diseru oleh Allah SWT dengan perintah wajib supaya berpuasa, ibadat yang akan melahirkan sifat taqwa.

Ketaqwaan akan lahir apabila dibaca laporan yang dinyatakan dalam Kitab Allah dengan hati yang beriman dan khusyuk, bukan berilmu dengan berpandukan laporan yang disiarkan dalam media perdana dan sosial yang paling diminati kini. Sehingga mereka membaca laporan media di hujung jari itu dengan lalai, mata dan akal yang tidak sihat tanpa khusyuk, kerana iman dan taqwa dianggap tidak penting kepada mereka.

Manusia kini sudah tenggelam dalam amaran Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ  أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

 “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakannya terdiri daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu umpama binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Mengapa aspek iman, amal soleh dan taqwa itu sangat penting?

  1. Iman

Iman menjadi suatu syarat terpenting bagi mendapat restu dan keberkatan daripada Allah SWT dan agar amalan baik yang dilakukan diterima oleh-Nya.

Allah SWT tidak memberikan keberkatan dan tidak menerima amal soleh tanpa seseorang itu beriman, sekalipun dirinya memakmurkan masjid paling mulia di muka bumi di tanah suci Makkah yang diberkati. Hal yang demikian kerana, Allah SWT berfirman:

﴿أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ١٩﴾

 “Adakah kalian menyifatkan perbuatan mereka yang memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji, dan (perbuatan mereka) memakmurkan Masjidil Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan-Nya? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Taubah: 19)

Persoalan dalam ayat di atas ditujukan kepada para pemimpin yang menentang Islam di Makkah kerana mereka berbangga menabur kebajikan di tanah suci dengan memakmurkan masjid dan menjamu para tetamu yang datang mengerjakan ibadat haji secara percuma.

Allah SWT menegaskan bahawa amalan mereka ditolak kerana tidak beriman kepada-Nya. Bahkan Allah SWT menolak amalan Rasul-Nya sekiranya dibatalkan iman mereka dengan adanya syirik (menyekutukan Allah SWT dengan melantik tuhan selain daripada-Nya). Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ٦٥﴾

 

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: ‘Jika kamu (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.” (Surah al-Zumar: 65)

  1. Amal Soleh

Amal soleh ialah bersifat baik kepada Allah SWT, diri sendiri, keluarga masyarakat manusia dan alam sekeliling dengan ikhlas hati melalui, diri, harta dan tenaga dengan mematuhi syarat, rukun dan adab. Termasuk juga dengan meninggalkan kejahatan dan bertaubat daripada dosa serta saling bermaafan terhadap kesalahan. Semuanya diberikan ganjaran dengan janji yang benar daripada Allah SWT:

﴿فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ٧ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ٨﴾

“Maka sesiapa berbuat kebajikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (dalam surat amalnya). (7); Dan sesiapa berbuat kejahatan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (dalam surat amalnya). (8).” (Surah al-Zalzalah: 7-8)

Amal soleh yang tidak ikhlas kerana Allah SWT juga ditolak, jika tujuannya tidak percaya kepada pahala di akhirat dan dirinya hanya menginginkan kelebihan dunia sahaja. Firman Allah SWT:

﴿فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ٢٠٠ وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ٢٠١﴾

“Kemudian apabila kalian telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kalian, maka hendaklah kalian berzikir dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kalian dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) nenek moyang kalian, bahkan dengan sebutan yang lebih banyak lagi. Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia’ (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tiada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. (200); Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.’ (201).” (Surah al-Baqarah: 200-201)

Ayat di atas dihuraikan oleh hadis yang sahih bahawa Allah SWT menolak ilmu ulama’, sumbangan orang kaya dan orang yang berjihad bukan kerana-Nya.

Pada bulan Ramadhan diuji keimanan dengan perbuatan amal soleh yang ikhlas kerana Allah SWT, bercirikan jasad, roh dan harta supaya berpuasa bagi membuktikan iman seseorang dengan melawan nafsu jasad dengan meninggalkan makan, minum dan lain-lain yang diingini oleh jasad manusia. Walaupun segala perbuatan itu dihalalkan kepadanya pada waktu siang hari.

Ibadat puasa melatih jasad, roh dan akal seseorang itu supaya bersabar ketika waktu kelaparan dan dahaga, pada masa yang sama bersyukur ketika waktu kenyang dan rehat pada sebelah malamnya. Selain itu juga, puasa mendidik manusia agar tidak boros dan bakhil dalam berbelanja. Tidak melampau dalam semua urusannya.

  1. Taqwa

Bagi menanam sifat taqwa dalam diri seseorang, maka ditunaikan ibadat yang bersifat jasad, roh dan harta, begitu juga dengan mengerjakan amal kebajikan dalam hubungan dengan Allah SWT dan manusia serta meninggalkan larangan Allah SWT dengan iman yang ikhlas kerana-Nya.

Taqwa itu bermakna sentiasa berwaspada mematuhi perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya dengan penuh keimanan dan keikhlasan melalui tarbiah khusus dalam bulan Ramadhan.

Taqwa itu juga adalah hasil daripada iman yang dibuktikan dengan amal kebajikan dalam beribadat untuk diri sendiri, berkeluarga, bermasyarakat, berpolitik, berekonomi dan lain-lain. Hal tersebut telah dihuraikan oleh firman Allah SWT:

﴿الم١ ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ  فِيهِ  هُدًى لِلْمُتَّقِينَ٢ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ٣ وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ٤ أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ  وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ٥﴾ 

“Alif, Laam, Miim. (1); Kitab Al-Quran ini, tiada sebarang keraguan padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (2); (Iaitu) Orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3); Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan sebelum daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) Hari Akhirat. (4); Mereka itulah golongan yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (5).” (Surah al-Baqarah: 1-5)

Mereka yang bertaqwa itu mestilah beriman dengan sempurna kepada perkara yang nyata dan ghaib, sama ada perkara yang tidak dapat dilihat atau dirasa oleh pancaindera. Begitu juga mereka itu baik hubungannya dengan Allah SWT berpandukan Kitab-Nya serta berwawasan akhirat.

Berlaku adil kepada semua sekalipun bermusuh juga termasuk menjadi sifat mereka yang bertaqwa. Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Konsep adil itu telah mengubah musuh dengan memeluk Islam atau bertukar menjadi kawan, ini terbukti ketika zaman sejarah keemasan Islam dahulu.

Apabila Allah SWT memilih al-Quran untuk diturunkan pada bulan Ramadhan, kemudian disertakan dengan pengisian tarbiah yang lengkap, maka Ramadhan adalah latihan integriti sekali setahun bagi menentukan perjalanan hidup orang-orang yang beriman sepanjang tahun dan sepanjang hayat.

Adapun al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan itu digalakkan bertadarus (membaca dengan mengkaji) isi kandungannya secara khususnya pada bulan Ramadhan. Al-Quran merupakan hidayah daripada Allah SWT kepada manusia.

Para ulama’ antaranya Sheikh Muhammad ‘Abduh RH dalam Tafsir al-Manar mentafsirkan hidayah itu kepada empat kategori iaitu ‘hidayah al-fitrah’, ‘hidayah al-hawwas’, ‘hidayah al-‘aql’ dan ‘hidayah al-Din.’

  1. Hidayah al-fitrah ialah petunjuk secara naluri (instinct) atau sifat semula jadi yang ada kepada semua makhluk secara tabii. Terdapat pada manusia, binatang, tumbuhan dan semua makhluk mengikut kejadian masing-masing.
  2. Hidayah al-hawwas ialah petunjuk yang bersifat perasaan seperti sakit, seronok dan sebagainya. Sifat yang ada pada manusia termasuk bayi yang menangis ketika lapar dan sakit, termasuk kepada kepada binatang.
  3. Hidayah al-‘aql (hidayah akal) ialah petunjuk yang ada pada manusia yang aqil baligh dengan mampu ditaklifkan. Adapun kanak-kanak dan orang gila yang lemah akalnya tidak ditaklifkan kerana akal tiada pada binatang dan tidak ditaklifkan
  4. Hidayah al-Din (hidayah agama) ialah petunjuk mengikut agama Allah SWT secara ilmu dan kurniaan daripada-Nya. Petunjuk ini didapati dengan kurniaan daripada Allah SWT yang sentiasa dipohon hidayah-Nya dalam setiap rakaat solat dengan ilmu yang betul dan akal yang sihat. Inilah petunjuk yang dibawa oleh para Rasul yang yang dilantik oleh Allah SWT dengan pilihan-Nya, berpandukan Kitab yang telah diwahyukan kepada mereka.

Iblis yang bijak sahaja tidak layak untuk mendapat hidayah ini kerana bersifat takabbur (sombong). Begitulah juga para orientalis yang berilmu tinggi berkenaan agama Islam, mereka juga tidak layak mendapat hidayah daripada Allah SWT ini. Para ulama’ yang jahat juga dimurkai oleh Allah SWT kerana ilmu mereka yang tidak ikhlas kerana-Nya.

Ramadhan mentarbiah diri manusia supaya beriman, berilmu dan beramal dengan ikhlas sehingga melahirkan sifat taqwa. Tarbiah dalam bulan Ramadhan dengan melakukan ibadat puasa dan memakmurkannya dengan ibadat-ibadat yang lain.

Maka, Ramadhan adalah merupakan Madrasah Tarbiah yang mendidik secara sempurna dari segi jasad, roh, akal, harta, bahkan dalam seluruh cara hidup manusia yang sebenar dengan berintegriti kerana Allah SWT. Sehingga bertemu dengan-Nya kelak pada Hari Akhirat.

Firman Allah SWT:

﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ٣٩﴾

“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka itu air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi ke tempat itu, tidak didapati sesuatu apapun yang disangkakan itu. (Demikian itulah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati ketetapan Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera perhitungan-Nya.” (Surah al-Nur: 39)

Allah SWt berfirman:

﴿وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ٥﴾

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus (Islam); dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus (Islam).” (Surah al-Bayyinah: 5)

Akhirnya, Allah SWT berfirman:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah keberkatannya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-A‘raf: 96)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Ramadhan 1442 / 30 April 2021