Home Berita PAS Pusat

Salam Nuzul Quran 1442H / 2020

460
SHARE


Antara kemuliaan bulan Ramadan adalah di dalamnya berlaku peristiwa agung Nuzul al-Quran, penurunan kitab Allah dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.

Allah berfirman di dalam surah ad-Dukhan ayat 3:

اِنَّاۤ اَنۡزَلۡنٰهُ فِىۡ لَيۡلَةٍ مُّبٰـرَكَةٍ‌ اِنَّا كُنَّا مُنۡذِرِيۡنَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar jangan ada hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

Turunnya al-Quran ini menjadi petunjuk sepanjang zaman, yang dijamin terpelihara dari sebarang perubahan dan kesalahan. Tiada mukjizat yang dapat menandingi al-Quran, ia adalah kitab yang banyak faedah dan manfaat bagi mereka yang berakal dan mengambil iktibar.

Sejarah telah membuktikan bagaimana umat Islam menjadi kuat dan berjaya mentadbir dunia dengan petunjuk al-Quran. Sejarah juga menjadi saksi pada ketika umat Islam menjadi lemah kerana meninggalkan Al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW.

Seharusnya atas kesedaran diri sebagai seorang hamba, al-Quran ini mesti dibaca, dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Bahkan, kita juga memikul tanggungjawab untuk memperjuangkan isi kandungannya di muka bumi ini.

Sesungguhnya menegakkan tuntutan Al-Quran telah menjadi perjuangan PAS sejak sekian lama. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, PAS akan tetap teguh dan istiqamah dengan prinsip meletakkan Kitabullah ini sebagai hukum yang tertinggi.
Salam Nuzul al-Quran.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’